Fazura hadir ketika perbicaraannya kes saman ke atasnya, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
Fazura hadir ketika perbicaraannya kes saman ke atasnya, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
Murni Wan Omar


PEMILIK syarikat Maydan Trading mendakwa hanya mahu menuntut RM156,000, jumlah bayaran yang sudah dibayar kepada pelakon dan penyanyi Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Shariffudin untuk menjadi duta produknya, Q Tab.

Narhamdan Abdul Malek, 54, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini berkata, anak keduanya, Mardina yang memberi cadangan untuk melantik Fazura mempromosikan produk mereka melalui internet.

“Pada 18 Julai 2017, saya kali pertama bertemu dengan pengurus Fazura iaitu Iman Tang di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Pertemuan itu diaturkan oleh Mardina dan beliau (Iman) menjelaskan secara lisan tugas duta produk dan cara membantu memasarkan produk Q-Tab.

“Beliau memaklumkan bahawa Fazura akan membuat promosi selama enam bulan menerusi akaun Instagram milik wanita itu. Pada awal Ogos tahun itu, saya menandatangani ‘Helaian Terma’ yang diberi oleh Iman Tang,” katanya.

Menurutnya, ketika itu perjumpaan dibuat di The Curve, Damansara dengan dihadiri dua anaknya iaitu Marliya dan Mardina serta Fazura dan Iman Tang.

“Saya membuat bayaran awal RM100,000. Selepas itu Maydan membuat sidang akhbar pada penghujung Ogos 2017 untuk mempromosi rangkaian produk kami termasuk Q Tab. Ketika itu saya juga ada membuat pembayaran RM56,000 bagi sesi fotografi dan video.

“Melalui Mardina saya difahamkan jualan produk kami bagus, bagaimanapun jualan jatuh pada penghujung September 2017. Saya dimaklumkan Fazura ada melancarkan produk kecantikannya sendiri ‘Tru-Dolly’ pada awal Oktober 2017,” katanya.

Beliau berkata, Mardina mengetahui perkara itu selepas menerima pertanyaan daripada orang awam sama ada mereka menambah stok Tru-Dolly.

“Saya kecewa dengan perkara ini kerana Iman sendiri memberitahu bahawa Fazura akan membuat promosi secara ekslusif untuk Maydan. Bajet RM200,000 yang dikeluarkan untuk memasarkan produk ini bukan jumlah yang kecil.

“Saya sudah membayar 75 peratus nilai tugas duta ini bagaimanapun apa yang dibuat oleh Fazura sejak Oktober 2017, tidak sepadan dengan apa yang sudah dijanjikan. Dia (Fazura) hanya membuat satu sidang media dan sesi fotografi serta video. Dia ada memuat naik tiga kali di laman Instagramnya,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril bersambung esok.

Pada 16 Disember 2017, Narhamdan menfailkan saman terhadap Fazura, 36, dan Universal Music Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan writ, Narhamdan sebagai plaintif memiliki dan menjual produk kesihatan di atas nama dagang Maydan dan salah satu produk itu adalah ‘candy’ yang boleh dikunyah dikenali sebagai Q Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku.

Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Fazura.

Perjanjian itu didakwa untuk Fazura memasarkan dan/atau mengendors produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, antara perkhidmatan yang dibuat oleh Fazura adalah memasarkan produk secara besar melalui media sosial, lebih khususnya melalui saluran Instagram miliknya membabitkan 12 catatan (postings).

Selain itu, Fazura perlu membuat lima penampilan awam, penampilan tunggal pada sidang akhbar serta sesi pengambilan gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk.

Plaintif mendakwa sekitar awal Mei 2017, beliau menghampiri defendan kedua untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan pengendorsan produk oleh defendan pertama.

Menurut plaintif, rundingan dengan wakil defendan pertama iaitu Iman Tang ada menyatakan bahawa walaupun perlantikan Fazura untuk produk itu hanya untuk wilayah Malaysia, namun gambar promosi akan dibuat di United Kingdom, London dan New York, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 7:06 PM