FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya
Wan Asrudi Wan Hasan dan Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Melihat kepada gelagat segelintir penganjur yang seolah-olah mempersenda kesungguhan dan pengorbanan pelumba apabila memandang remeh soal pembayaran wang kemenangan adalah sesuatu yang sangat mengecewakan.

Selepas pelumba memerah keringat dengan mengharungi perlumbaan beratus kilometer tidak kira hujan atau panas, ganjaran yang dijanjikan tiba-tiba lesap dan ia lebih menyedihkan apabila ada pelumba yang mengalami kecederaan atau kemalangan semasa perlumbaan.

Yang peliknya, perlumbaan yang berdepan masalah itu didaftarkan di bawah kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Walaupun ada peraturan yang ditetapkan UCI dengan wang kemenangan perlu diselesaikan dalam tempoh tertentu, namun ada juga penganjur yang ingkar dengan memberikan pelbagai alasan.

Antara wang kemenangan yang mengambil tempoh lama untuk diselesaikan adalah Jelajah Malaysia 2017 anjuran Life Profit Sdn Bhd dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM166,000.

Pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi mengaku ia antara situasi yang mengecewakan bagi pelumba profesional sepertinya.

“Seharusnya apabila mahu menganjurkan perlumbaan, mereka perlu patuhi semua peraturan termasuk wang kemenangan kerana ia adalah periuk nasi kami sebagai pelumba profesional,” kata pelumba PDRM itu.

Tambah pemenang emas Sukan SEA 2017 itu, penganjur bukan saja perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh bagi membolehkan perlumbaan berlangsung dengan lancar, malah bayaran lain juga perlu diselesaikan dengan sempurna.

Kapten Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh turut kurang senang apabila ada penganjur gagal menunaikan janji.

“Sedih apabila situasi seperti ini berlaku. Bukan mudah untuk meraih tempat terbaik,” katanya.

Menurutnya, sebagai pelumba tempatan, dia malu apabila rakan dari luar negara bertanya mengenai bayaran perlumbaan.

Sementara itu, bekas pelumba negara, Amir Mustafa Rusli berkata, ia antara perkara yang pahit dilaluinya sepanjang bergelar pelumba sejak 16 tahun lalu.

“Paling kurang menyenangkan apabila dikritik pelumba luar negara yang melahirkan rasa tidak puas hati. Kami sebagai pelumba dari Malaysia mungkin tidak mempunyai kaitan dengan penganjur perlumbaan, namun tetap dikutuk atas dasar dari negara yang sama,” katanya.

Tambahnya, kelewatan atau kegagalan membayar wang kemenangan tidak sepatutnya berlaku kerana pelumba sudah melakukan pengorbanan dengan menyertai perlumbaan yang biasanya mengambil masa lima hingga tujuh hari.

“Pelumba sudah berkorban masa, tenaga dan sebagainya. Sebenarnya sepanjang saya berlumba di luar negara, perkara seperti ini tidak pernah berlaku,” katanya yang pernah beraksi bersama Drapac Cycling Team dari Australia selama tiga tahun.

Pada masa sama, pelumba berusia 32 tahun itu menyarankan PKBM menyenarai hitam penganjur yang bermasalah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:31 AM