GAMBAR budak lelaki yang meminta sedekah  di hentian bas  tular di media sosial.
GAMBAR budak lelaki yang meminta sedekah di hentian bas tular di media sosial.
Mary Victoria Dass


“IS (anak) hanya menemani saya ketika kami meminta ihsan ramai. Saya tidak pernah membenarkannya mengemis bersendirian,” ujar Salina Ahmad, 45, ibu kepada kanak-kanak yang tular gambarnya dan didakwa mengemis di sekitar bandar raya ini.

Salina yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini, terkilan apabila ada pihak merakamkan gambar anak lelakinya berusia 10 tahun sebelum tular di media sosial hingga dia dikecam netizen.

Menurutnya, kejadian berlaku beberapa bulan lalu dan ketika itu, dia nekad ke kawasan masjid dan tempat tumpuan ramai bagi meminta ihsan demi mengisi perut anaknya.

Katanya, dia yakin ketika itu ada pihak merakamkan gambar anaknya yang membantunya memegang nota tercatat kisah keluarganya.

“Ramai orang tidak faham, ketika itu saya dalam keadaan terdesak untuk meminta ihsan orang ramai berikutan kami terputus bekalan makanan sejak beberapa hari sebelum itu.

“Sebagai ibu saya tidak sanggup melihat anak mati kebulur dan menolak tepi perasaan malu untuk meminta sedekah. Tiada manusia dalam dunia ini yang bangga untuk meminta inikan pula daripada individu tidak dikenali,” katanya.

Salina berkata, keluarganya jatuh miskin sejak suaminya, Khairul Anuar Mohd Ghazali, 48, terlantar sakit hampir empat tahun manakala seorang daripada empat anaknya menghidap komplikasi kesihatan.

Menurutnya, suaminya menghidap tibi tahap empat manakala seorang anaknya menderita akibat komplikasi ginjal.

Katanya, kedua-duanya menjalani rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) namun suaminya tidak boleh bekerja untuk menyara keluarga.

SALINA
SALINA

“Keadaan suami sangat serius dan perlu dikuarantin. Dia tidak boleh bekerja dan tiada majikan yang mahu mengambilnya bekerja.

“Saya pula perlu menjaganya setiap masa. Sekiranya ada pihak berasa curiga dengan kisah keluarga kami, mereka boleh datang sendiri ke rumah dan lihat apa yang kami lalui,” katanya yang tinggal di PPR itu sejak 10 tahun lalu.

Salina berkata, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebanyak RM400 setiap bulan namun jumlah itu tidak mencukupi memandangkan bilangan ahli keluarganya yang ramai dan kos ubat-ubatan.

Katanya, bagi memastikan wang diperolehi mencukupi dia terpaksa mencatu makanan dan barang keperluan lain kerana mengutamakan keperluan kesihatan anak dan suami.

“Bayangkan kami mempunyai empat anak berusia lima hingga 14 tahun, mereka perlu makan dan bersekolah sedangkan semuanya memerlukan wang.

“Saya bukan tidak mahu bekerja tetapi perlu menjaga suami dan kesihatan saya sendiri bermasalah. Saya menghidap asma dan tidak boleh kerja sembarangan.

“Tolong fahami masalah kami, hentikan memfitnah keluarga kononnya meminta anak mengemis,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh memberi sumbangan kepada 01014025115289 (Bank Islam) Salina Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:01 AM