FARAH Nabilah dilantik menjadi duta kemanusiaan ADRF. -Foto NURUL SHAFINA JEMENON
FARAH Nabilah dilantik menjadi duta kemanusiaan ADRF. -Foto NURUL SHAFINA JEMENON

KETIKA namanya berada di puncak, pelakon Farah Nabilah tidak sedikit pun lupa diri. Sebaliknya populariti yang dikecapi ketika ini digunakan dengan melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Farah, 27, yang dilantik sebagai duta kemanusiaan Asia Africa Development Relief Foundation (ADRF) berkata, selama ini kehadirannya dalam bidang lakonan juga bukanlah untuk mengejar glamor semata-mata sebaliknya lebih kepada minat dalam bidang itu.

ADRF adalah pertubuhan kemanusiaan yang memberi tumpuan kepada masyarakat kurang berkemampuan bagi meningkatkan daya maju mereka melalui pendidikan.

Menerusi ADRF, Farah akan terbabit dalam pelbagai program membabitkan kanak-kanak, Harapan = Ilmu (HIP) dengan penganjuran kelas membaca bahasa Inggeris dan Melayu, JOMBACA di pusat komuniti flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang.

“Alhamdulillah niat untuk membabitkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan akhirnya terlaksana di ADRF. Selama ini memang saya mencari mana-mana pertubuhan yang sudi bekerjasama atau memberi peluang.

“Malah keinginan itu semakin membuak-buak selepas saya melakonkan babak sebagai wanita gelandangan dalam drama bersiri Halalkan Hati Yang Ku Curi,” katanya.

Farah berkata, jika sebelum ini anggota masyarakat terbabit dibantu dengan pemberian makanan dan pakaian, tetapi di ADRF fokus utamanya adalah pendidikan.

“Saya teruja dan tidak sabar untuk memulakan aktiviti ini. Sebelum ini saya bertemu kanak-kanak ini dalam sesi suai kenal dan semuanya sangat gembira serta berharap saya akan datang lagi bertemu mereka.

“Inilah penghargaan untuk mereka yang banyak menyokong karier seni selama ini. Lagipun, rasa rugi jika saya tidak manfaatkan peluang ini kerana tidak semua orang dapat,” katanya.

Dalam pada itu, disebab­kan bakal sibuk dengan ADRF, Farah akan memperlahankan aktiviti lakonan dan hanya mengambil tawaran berlakon yang tempoh penggambarannya tidak lama.

Selain itu, dia juga turut sibuk fokus terhadap perniagaan produk kecantikannya iaitu Fawaa Beauty yang dilancarkan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 5:30 AM