Firdaus Hashim


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Itu pepatah boleh digambarkan di atas kejayaan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang mengakui tidak menyangka mampu memenangi pingat emas acara individu keseluruhan di Sukan Sea 2019 kali ini.

Farah, 25, yang pernah mencuba nasib bertanding dalam acara individu keseluruhan di Sukan Sea 2015 Singapura sekadar meraih perak dan selepas itu dia hanya menumpukan kepada dua acara kegemarannya, iaitu palang bertingkat dan senaman lantai.

FARAH beraksi dalam acara final All Round.  - FOTO Bernama
FARAH beraksi dalam acara final All Round. - FOTO Bernama

Katanya, keputusan untuk bertanding acara itu hanya diputuskan pada saat akhir dan dia mengakui kejayaan itu paling istimewa hingga menyentuh hatinya.

"Ini pingat emas pertama saya acara individu keseluruhan yang saya dapat. Di Singapura saya cuma dapat perak dan kemenangan ini memang menyentuh hati saya sebab dah lama impikan pingat emas acara ini.

"Jadi saya amat berterima kasih kepada keluarga saya, rakan sepasukan dan jurulatih sebab mereka saya berjaya dapat hari ini", katanya selepas upacara penyampaian pingat di Kompleks Sukan Memorial Rizal.

FARAH raih tiga emas di Sukan Sea Filipina.
FARAH raih tiga emas di Sukan Sea Filipina.

Pada aksi hari ini, Farah mengumpul mata tertinggi 48.050 mata diikuti atlet Indonesia, Irfanaluthfi Rifda (47.800 mata) untuk perak dan seorang lagi wakil negara, Tan Ing Yueh (46.900 mata) memenangi gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 6:47 PM