SENTIASA berusaha untuk mendapatkan kejayaan dalam arena sukan disertainya.
SENTIASA berusaha untuk mendapatkan kejayaan dalam arena sukan disertainya.
Hafiz Ithnin


KE mana tumpah kuah jika tidak ke nasi. Mungkin ungkapan itu sesuai untuk si gadis berusia 14 tahun ini yang mula mencipta nama dalam skuad kebangsaan sebagai atlet lari berpagar.

Bakatnya dalam arena sukan makin menguntum apabila ibu bapanya, Azifsafarin Saidin dan Nor Jumaatul Azura Cik Harun sebenarnya aktif dalam bidang sukan satu ketika dahulu.

Pemilik nama Farah Syakira Azifsafarin, mula diasah bakatnya dalam arena itu seawal sembilan tahun. Sebenarnya anak kelahiran Tanjung Piandang, Perak itu tidak menyangka kelas pendidikan jasmani menjadi titik tolak perjalanan sebagai seorang atlet.

Farah sudah bergelar atlet kebangsaan sejak tahun ini dan terbabit dengan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) pada 2018 ketika usianya 10 tahun.

Sejak itu, dia menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2022 dengan menyumbang satu pingat perak. Tidak sekadar itu, pada 2019, bakat Farah di persada arena antarabangsa terus mewangi apabila berjaya membawa satu pingat perak gangsa dalam kategori 100 meter di Khon Kean, Thailand.

Gadis bertudung itu yang sentiasa menguntum senyuman manis tatkala temu bual ini sebenarnya tersirat sisi serius ketika bercerita perihal latihan.

Farah berkata, latihan adalah perkara paling penting apabila bergelar seorang atlet.

Meskipun dia tidak memasuki sekolah sukan namun latihan yang diterapkan jurulatih, Muhd Khairi Amri membantunya bergelar atlet.

"Setiap hari saya perlu bangun awal pagi kerana latihan pada sesi pagi biasanya bermula pada 7.30 pagi hingga 10 pagi.

MSSM 2022 membawa tuah kepada Farah.
MSSM 2022 membawa tuah kepada Farah.

"Kemudian, saya perlu bersiap sedia untuk ke sekolah pada sebelah petang pula. Jadi, disiplin kendiri amat penting apabila bergelar atlit pada usia muda seperti saya dan masih di bangku sekolah. Bagi mereka yang bergelar atlet sudah semestinya disiplin perkara yang paling penting," katanya.

Tambahnya, dia mempunyai dua sesi latihan jika cuti sekolah iaitu sebelah pagi dan petang. Jadi dia menikmati keseronokan usia remaja dengan cara tersendiri iaitu bersukan.

"Saya tidak pernah merasakan sukan dan tanggungjawab menjadi atlet sebagai bebanan yang mengehadkan kebebasan pada usia remaja.

"Perkara ini kerana saya sememangnya bukan seorang yang suka melepak pada waktu senggang. Jika keluar pun dengan ahli keluarga atau bersama rakan rapat sahaja," katanya yang turut mengakui keluarga adalah tulang belakangnya.

FARAH (kanan) sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga untuk menjadi atlit.
FARAH (kanan) sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga untuk menjadi atlit.

Farah berkata, meskipun seminggu diberikan sehari waktu berehat oleh jurulatih tetapi dia tidak merasa begitu selesa tanpa melakukan sebarang aktiviti bersukan walaupun perlu berehat kerana ia sudah menjadi rutin harian.

"Walaupun waktu berehat, saya sekurang-kurangnya akan melakukan regangan sendiri di rumah. Bagi saya prestasi saya masih tidak begitu bagus. Tanpa usaha pastinya sukar untuk mencapai kemenangan dalam kejohanan kelak.

"Saya tiada resipi rahsia dalam menjadi seorang atlet pada usia muda. Perkara paling utama seperti saya katakan ialah disiplin dan memberi komitmen sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, dia pernah merasa kecewa pada usia 11 tahun kerana gagal mendapat pingat dalam suatu kejohanan yang disertainya.

LATIHAN dan fokus menjadi resipi untuk berjaya.
LATIHAN dan fokus menjadi resipi untuk berjaya.

"Saya maklumkan kepada ibu bahawa sudah penat menjalani latihan dan ingin berhenti sahaja daripada menjadi atlit.

"Namun, ibu membakar kembali semangat dengan mengatakan bahawa jangan menjadikan usaha yang sudah dilakukan sia-sia kerana satu kegagalan. Apatah lagi, latihan intensif dilakukan sudah menjadi rutin harian," katanya.

Bercerita mengenai cara mengimbangi antara dunia sukan dan akademik, katanya, jika pada sebelah siang dia sibuk dengan sesi latihan dan ke sekolah, seusai solat Maghrib adalah waktu untuk mengulang kaji pelajaran.

"Waktu belajar dan mengulang kaji adalah lepas solat Maghrib sehingga jam 10.30 malam. Kemudian saya perlu tidur awal kerana keesokan pagi perlu menjalani latihan dan ke sekolah pada sebelah petang.

KEMAMPUAN dalam sukan larian berpagar mula menyinar seawal usia 9 tahun.
KEMAMPUAN dalam sukan larian berpagar mula menyinar seawal usia 9 tahun.

"Segala kerja sekolah dan ulang kaji perlu disiapkan sebelum jam 10.30 malam. Ketika di sekolah rendah, saya bersyukur sentiasa berada dalam kedudukan lima ke atas di dalam kelas dalam bidang akademik walaupun bergelar atlet pada usia kanak-kanak," kata anak kedua daripada tiga beradik ini sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:50 AM