Mohamad Hussin


Kuala Lumpur: “Setiap kali membaca al-Quran, saya akan memberi fokus supaya apa yang dibaca dapat diserap dalam hati.

“Walaupun pada mulanya merangkak- rangkak (dalam bahasa isyarat), tetapi lama kelamaan saya sudah biasa dan lancar.

“Setiap hari kena buat latihan bagi memantapkan bacaan,” kata Muhammad Izzat Haris Suhaimi, 15, pelajar cacat pendengaran dan autisme yang menggunakan bahasa isyarat dalam mendalami al-Quran.

Muhammad Izzat antara 20 pelajar cacat pendengaran berusia tujuh hingga 17 tahun yang mengikuti Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Anak-Anak Pekak Pandan Perdana di sini, yang dibuka sejak tiga tahun lalu.

PELAJAR Kelas KAFA Anak-Anak Pekak  tekun menghafaz al-Quran di Pandan Perdana. FOTO Rohanis Shukri.
PELAJAR Kelas KAFA Anak-Anak Pekak tekun menghafaz al-Quran di Pandan Perdana. FOTO Rohanis Shukri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana itu berkata, dia mempelajari al-Quran sejak 2015 kerana jiwanya tenang selepas membacanya.

“Saya seronok belajar di sini kerana mempunyai ramai kawan-kawan yang senasib dengan saya. Sebelum ini, saya tidak pernah didedahkan dengan al-Quran, namun selepas mempelajarinya saya begitu semangat untuk mendalami al-Quran.

“Insya-Allah, saya kini di juzuk 10 dan akan habiskan secepat mungkin kerana tidak sabar mahu khatam al-Quran,” katanya yang ditemui di KAFA Anak-Anak Pekak Pandan Perdana, di sini, semalam.

Sementara itu, guru KAFA berkenaan, Ustaz Ahmad Rozaimi Mohamed, 31, berkata setiap pelajar akan diberi latihan mengenali huruf sebelum membaca al-Quran.

TEKUN menghafaz al-Quran dalam bahasa isyarat. FOTO Rohanis Shukri.
TEKUN menghafaz al-Quran dalam bahasa isyarat. FOTO Rohanis Shukri.

Menurutnya, bagi pelajar baru, ia bergantung kepada kemampuan pelajar untuk menghafal isyarat huruf sebelum ke tahap seterusnya.

“Mula-mula pelajar diminta menulis dan mengenal huruf hijaiyyah iaitu abjad Arab sebelum diajar membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat sebelum mengenali huruf bersambung.

“Ada tahap pelajar yang cerdik dan lemah untuk menghafaz dan ia bergantung kepada mereka. Ada juga yang mengenali dan menghafaz huruf lebih dua atau tiga minggu di peringkat awal,” katanya.

USTAZ Ahmad Rozaimi mengajar anak cacat pendengaran membaca al Quran dalam bahasa isyarat. FOTO Rohanis Shukri.
USTAZ Ahmad Rozaimi mengajar anak cacat pendengaran membaca al Quran dalam bahasa isyarat. FOTO Rohanis Shukri.

Ahmad Rozaimi berkata, antara cabaran mengajar anak-anak istimewa ini ialah perlu ada sifat sabar dan penyayang kerana ada di antara mereka yang menghidap autisme.

“Saya turut mengambil kelas belajar bahasa isyarat di sebuah kolej selama tiga tahun kerana minat mengajar anak-anak istimewa ini.

“Selain membaca al-Quran, KAFA ini turut mengajar solat berjemaah dan melakukan aktiviti memanah,” katanya.

Penyelia KAFA itu, Azlina Arbain berkata, kelas KAFA itu diadakan setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang bagi membantu pelajar terbabit mendalami al-Quran.

Mereka yang ingin membantu KAFA Anak-Anak Pekak ini boleh melayari Facebook menerusi Kafa Pekak Pandan Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 7:30 AM