Amir Abd Hamid

Pelabuhan Klang: Hanya setahun selepas beroperasi, Akademi Tahfiz Mandarin (ATM) di Pulau Ketam, dekat sini, sudah melahirkan modal insan yang unik apabila sebahagian pelajarnya bukan saja berupaya menghafaz ayat al-Quran tapi juga fasih bertutur bahasa Mandarin.

ATM ialah institusi pengajian al-Quran yang terletak di tengah-tengah tempat tinggal masyarakat bukan Islam apabila dikelilingi kira-kira 8,000 kaum Tionghoa di pulau berkenaan berbanding sekolah tahfiz biasanya terletak dalam kawasan komuniti Islam.

“Nama saya Muhammad Adam Danish Zulkifli. Umur saya 13 tahun. Saya berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Nama ayah saya Zulkifli Muis. Nama ibu saya Zuraidah Abdullah. Saya sudah belajar di Akademi Tahfiz Mandarin selama dua bulan.

“Saya suka al-Quran dan belajar bahasa Mandarin. Saya bercita-cita menjadi doktor dan pendakwah,” Itu antara jawapan spontan Adam dalam bahasa Mandarin kepada wartawan yang dirakam juruvideo akhbar ini.

MUHAMMAD Adam Danish Zulkifli. FOTO Rohanis Shukri.
MUHAMMAD Adam Danish Zulkifli. FOTO Rohanis Shukri.

Bukan itu saja, Muhammad Adam Danish yang lebih mesra dipanggil Adam turut tenang mengalunkan surah An Naba dari ayat 1 hingga 10 apabila diminta untuk berbuat demikian.

Adam antara modal insan terawal ATM. Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, walaupun gigih menghafaz al-Quran dan belajar bahasa Mandarin seperti yang diinginkan ibu bapanya, dia tidak melupakan cita-citanya untuk menjadi doktor.

Sementara itu, rakannya, Annas Ann Safri, 13, berkata, belajar tulisan Cina adalah antara kesukaran dialaminya ketika belajar di ATM.

“Belajar berkomunikasi dalam bahasa Mandarin menyeronokkan. Begitu juga ketika menghafaz al-Quran. Tetapi hendak menguasai tulisan Cina, saya rasakan sangat sukar.

“Apapun saya akan lakukan yang terbaik untuk menguasai antara dua bahasa utama di dunia itu,” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

PELAJAR ATM tekun menghafaz al-Quran. FOTO Rohanis Shukri.
PELAJAR ATM tekun menghafaz al-Quran. FOTO Rohanis Shukri.

Menurut Annas, kaedah dipelajari untuk menghafaz sama ada al-Quran atau bahasa Mandarin ialah sekurang-kurangnya 20 kali mengulang sesuatu ayat sehingga menguasainya.

Katanya, kelebihan berada di Pulau Ketam ialah pelajar dapat mempraktikkan bahasa Mandarin dengan berbual bersama penduduk tempatan yang majoritinya kaum Tionghoa.

Sementara itu, penduduk tempatan Pulau Ketam, Ishak Ho, 72, yang ditemui ketika sedang berbual dengan pelajar ATM dalam bahasa Mandarin berkata, kehadiran pelajar tahfiz terbabit bagaikan memberikan ketenangan kepada penduduk setempat.

 ISHAK Ho (kanan) bersama pelajar ATM. FOTO Rohanis Shukri.
ISHAK Ho (kanan) bersama pelajar ATM. FOTO Rohanis Shukri.

Beliau yang bertugas sebagai tok siak sukarela di Balai Islam Pulau Ketam yang dijadikan surau itu berkata, sejak kehadiran pelajar tahfiz berkenaan, surau terbabit sentiasa diimarahkan.

“Seronok sebab pelajar tahfiz ini baik-baik belaka dan muka mereka juga nampak tenang. Surau ini sudah lama kurang diimarahkan dengan solat jemaah.

“Namun kini setiap hari surau penuh setiap kali solat fardu, malah juga solat Jumaat,” katanya yang memeluk Islam pada 1986.

PELAJAR Akademi Tahfiz Mandarin Pulau Ketam di Balai Islam. FOTO Rohanis Shukri.
PELAJAR Akademi Tahfiz Mandarin Pulau Ketam di Balai Islam. FOTO Rohanis Shukri.

Terang hati berkat hafaz kitab suci

“Syukur Alhamdulillah apabila pelajar kita mampu menguasai tafsir al-Quran dalam bahasa Mandarin. Ini perkara membanggakan,” kata Ustaz Mohammad Ibrahim, 50, yang lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Mad China.

Pengasas merangkap Pengarah Akademi Tahfiz Mandarin (ATM) itu berkata, mungkin dengan keberkatan mempelajari untuk menguasai ilmu dan menghafaz al-Quran, pelajar jadi mudah serta terang hati untuk pantas memahami pengajaran Mandarin.

Menurutnya, dalam tempoh hanya kira-kira setahun beroperasi sejak Januari tahun lalu, kebanyakan pelajar sudah menghafaz lapan juzuk al-Quran.

Beliau berkata, memang menjadi sebahagian matlamat ATM untuk melahirkan pelajar yang bukan sekadar boleh menghafal al-Quran malah menguasai bahasa Mandarin yang menjadi bahasa rasmi kaum Tionghoa di dunia.

Menurutnya, dalam tempoh lebih setahun beroperasi sejak Januari tahun lalu, kebanyakan pelajar sudah menghafaz lapan juzuk al-Quran.

“Baru-baru ini, kami dijemput Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia dan diminta mengalunkan al-Quran sebagaimana yang dihafal selain membaca tafsir bahasa Mandarin.

“Alhamdulillah, pelajar kita boleh melakukannya dengan baik dan ini perkembangan positif,” katanya.

USTAZ Mad China. FOTO Rohanis Shukri.
USTAZ Mad China. FOTO Rohanis Shukri.

Beliau yang pernah menetap enam tahun dan belajar di Kolej Bahasa dan Budaya Cina, Universiti Jinan, Guangzhou, China itu berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan pelajar turut menguasai tafsir al-Quran dan ilmu fekah dalam bahasa Mandarin.

Menurutnya, bahan ilmiah untuk tujuan berkenaan sememangnya sudah diterbitkan badan berkenaan termasuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia.

“Buat masa ini, kami ada 34 pelajar dan 24 daripadanya boleh menguasai bahasa Mandarin mudah malah sudah berani bercakap dan mengalunkan nasyid dalam bahasa itu.

“Tahun ini sasarannya kita akan terapkan kepada pelajar mengenai asas Islam dalam bahasa Mandarin termasuk tafsir, hadis dan fekah,” katanya.

Menurutnya, ATM masih membuka peluang kepada ibu bapa atau keluarga yang berminat menghantar pelajar ke situ.

Orang ramai yang mahu mengetahui lebih lanjut boleh melayari Facebook atau Instagram ATM selain laman sesawang www.akademitahfizmandarin.com.

“Kami juga turut mengalu-alukan jika ada pihak mahu memberi sumbangan infaq bulanan untuk menampung kos operasi kira-kira RM20,000 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 9:11 AM