TENAGA pengajar FPQS Usim menunjukkan komunikasi bahasa isyarat dengan menggunakan aplikasi Quran Isyarat bagi memudahkan OKU  pendengaran untuk membaca dan mendalami al-Quran. FOTO AZRUL EDHAM
TENAGA pengajar FPQS Usim menunjukkan komunikasi bahasa isyarat dengan menggunakan aplikasi Quran Isyarat bagi memudahkan OKU pendengaran untuk membaca dan mendalami al-Quran. FOTO AZRUL EDHAM
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Nilai: Sejak 2015, 10 'dai pekak' yang mahir menggunakan kod tangan Quran dilahirkan oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Peranan dai pekak ini adalah sebagai 'lidah' kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Dai pekak ini turut berperanan sebagai pendakwah dalam menyampaikan nasihat dan panduan hidup bersyariat serta mengajar al-Quran dan fardu ain berasaskan kekuatan serta kelainan upaya belajar mereka.

Pengarahnya Dr Norakyairee Mohd Raus berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melahirkan kumpulan pendakwah berkenaan.

"Ia antara inisiatif untuk membangunkan mahasiswa cakna OKU melalui Sekretariat Sahabat Faqeh Usim (SaF Usim)," katanya.

Menurutnya, usaha ini dilihat daripada sudut keperluan mahasiswa pengajian Islam membabitkan diri dalam dakwah OKU ke arah merealisasi mesej utama surah 'Abasa iaitu 'muliakan OKU dengan agama'.

"Kita bermula dengan melatih kumpulan mahasiswa ini melalui penganjuran Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Faqeh) selama satu semester.

"Selepas mendapat latihan, mereka turut dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan program bersama komuniti pekak. Antaranya, Kem Huffaz Remaja Pekak, Kem Solat Murid Pekak dan Online Tadarus Tanpa Suara sempena Ramadan baru-baru ini," katanya.

Dr Norakyairee Mohd Raus
Dr Norakyairee Mohd Raus

Norakyairee berkata, selain itu, pihaknya turut melatih kumpulan mahasiswa ini untuk menyampaikan mesej dakwah melalui lagu.

"Kita tubuhkan Kumpulan Nasyid SaF al-Isharah pada 2016 dan membuat banyak persembahan nasyid tanpa suara melalui Bahasa Isyarat Malaysia (Bim).

"Dai pekak agak istimewa kerana mereka memerlukan kemahiran bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan menyampaikan kandungan pengajian Islam kepada komuniti pekak.

"Dai pekak dilatih oleh jurulatih utama iaitu Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap jurubahasa isyarat Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Dr Syar Meeze Mohd Rashid, Tenaga Pengajar Yayasan Faqeh, Muhammad Zaid Abdul Samat dan Siti Ramna Khamaruddin," katanya.


Bantu lebih 100 OKU pendengaran baca al-Quran

Nilai: Ada ibu bapa menganggap bahawa orang kurang upaya (OKU) pendengaran tidak perlu mempelajari al-Quran kerana persepsi OKU adalah anak syurga.

"Tanggapan itu tidak tepat kerana hakikatnya, semua orang termasuk OKU, perlu didedahkan dengan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang sesuai dengan ketidakupayaan mereka mendengar dan bertutur.

"Moga khidmat saya dan rakan-rakan yang lain sebagai 'dai pekak' ini menjadi asbab lebih ramai komuniti OKU pendengaran berusaha untuk mempelajari al-Quran dan beramal dengannya," kata Siti Ramna Khamaruddin.

Siti Ramna, 28, adalah seorang daripada 15 dai pekak yang dilahirkan oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

"Sejak tiga tahun lalu, menerusi program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS), saya dan dai pekak lain membantu lebih 100 OKU pendengaran membaca al-Quran menggunakan isyarat Kod Tangan Quran berbantukan Aplikasi Quran Isyarat.

"Pesertanya berusia 17 hingga 66 tahun dan ada dalam kalangan mereka tidak pernah didedahkan dengan al-Quran," katanya.

Selain itu, katanya, dia turut terbabit dalam penganjuran Kem Huffaz Remaja Pekak yang memfokuskan usaha membantu dan membimbing remaja pekak mengenal, menghafaz, membaca dan memahami al-Quran berasaskan modul khusus.

Siti Ramna berkata, kekurangan diri dan guru agama berkemahiran yang terhad menyebabkan OKU pendengaran agak tertinggal dalam mendalami agama, khususnya mempelajari al-Quran dan fardu ain.

"Oleh itu, kami berusaha memberi pendedahan kepada mereka bermula dengan surah-surah lazim daripada Juzuk 'Amma.

"Surah lazim adalah surah-surah pendek yang dilatih untuk dipraktikkan dalam solat di samping hafazan surah al-Fatihah.

"Kebanyakan mereka menghafaz surah al-Fatihah, surah tiga Qul serta surah pendek yang lain," katanya.

Menurutnya, minat untuk membabitkan diri dalam dakwah OKU pendengaran timbul semasa mengikuti Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) ketika pengajian peringkat ijazah sarjana muda.


Kaedah rai kekurangan diri

Kuala Lumpur : Siti Rahmah Ahmad Rezuan, 28, antara individu dianugerahi keistimewaan oleh Allah SWT kerana mampu menggunakan tangan untuk berdakwah melalui bahasa isyarat Kod Tangan Quran (KTQ) bagi mengajar komuniti OKU pendengaran mempelajari al-Quran.

Bukan itu saja, malah Siti Rahmah dan 14 lagi rakannya yang digelar 'dai pekak' turut berjaya 'mencelikkan' kira-kira 80 OKU pendengaran yang sebelum ini kurang atau tidak terdedah dengan ilmu al-Quran menerusi program Atas Talian Tadarus Tanpa Suara (OTTS) yang diadakan sejak Ramadan 2020.

"Ia memberikan satu kepuasan apabila OKU pendengaran dapat membaca al-Quran dengan kaedah yang meraikan kekurangan diri mereka.

"Sebelum ini, peluang OKU pendengaran untuk mempelajari al-Quran agak terbatas kerana kurang kemudahan dan pendedahan berbanding OKU masalah penglihatan yang mempunyai al-Quran versi Braille," katanya.

Menurut Siti Rahmah yang juga penuntut Ijazah Sarjana Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), dia berharap OKU pendengaran mempunyai kesedaran untuk mempelajari al-Quran dan tidak menganggap kalam Allah SWT ini sebagai buku biasa sahaja.

"Perkara utama yang kami lakukan dahulu ialah memperkenalkan al-Quran dan kepentingan untuk beradab dengan mushaf kepada OKU terbabit.

"Mengambil inspirasi daripada surah al-Qiyamah ayat 16 hingga 19, terdapat empat tahap mempelajari al-Quran untuk OKU ini iaitu mengenal, membaca, memahami dan menghafal," katanya.

Siti Rahmah berkata, sangat penting kepada OKU pendengaran untuk memahami perbezaan dan keistimewaan di antara al-Quran berbanding buku-buku yang lain.

"Ini supaya mereka dapat memupuk rasa hormat dan kecintaan terhadap al-Quran.

"OKU pendengaran perlu mempelajari al-Quran kerana sebagai umat Islam, kita diwajibkan mempelajari al-Quran dan Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala buat hamba-Nya yang berusaha mempelajarinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 12:00 PM