Oleh Ramlah Zainal


Mungkin ramai yang menganggap popularitinya sudah merudum ketika ini.

Apatah lagi, kelibatnya sudah jarang muncul dalam acara hiburan mahupun majlis anugerah sejak kebelakangan ini.

Hakikatnya, penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir, 37, menyepi seketika kerana ingin memberi fokus pada kerja belakang tabir menerusi syarikatnya, Faithful Music yang ditubuhkan sejak setahun lalu.

Pada masa sama, bapa penyayang ini juga ingin memberi fokus kepada lima anaknya yang semakin membesar dan memerlukan perhatiannya sebagai bapa.

“Selepas bergelar bapa kepada lima cahaya mata dan usia pun sudah mencecah 37 tahun, saya tidak mahu terlalu memikirkan soal populariti lagi.

“Sampai masanya, saya fokus untuk melahirkan artis generasi baru dan mencipta lagu di bawah label syarikat, sekali gus sama-sama memartabatkan industri muzik tanah air ke tahap yang tinggi,” kata­nya.

Pada masa sama, Faizal mengakui susuk tubuhnya yang agak kurus kerana sibuk menguruskan anak-anaknya yang sangat aktif sebelum ini.

“Jika tidak buat kerja belakang tabir di studio, saya sibuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah sebelum ini.

“Bukan mudah untuk menguruskan lima anak yang semakin membesar, tetapi saya percaya ia semakin mematangkan saya dalam kehidupan dan membuat keputusan yang lebih rasional.

“Kini, anak-anak sudah semakin besar dan yang sulung pun sudah berusia 10 tahun. Apabila mereka meningkat dewasa barulah saya bersedia untuk kembali aktif dalam bidang hiburan,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Siti Raihanim Noran, Faizal dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, 10; Siti Raudhah Nur Iman, 8; Ahmad Rifa’ie Zidane, 7; Siti Rawdha Nur Jannah, 4 dan Siti Nawar Malaeka, 2.

Faizal ditemui pada sesi tayangan drama bersiri Super Game Boy untuk saluran Astro Ceria di ibu negara, kelmarin.

Pada majlis itu, Faizal bergandingan dengan barisan artis seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Audi Mok, Juzzthin dan Wafiy (Ceria Popstar musim pertama) untuk menyampaikan lagu tema drama berjudul Generasi Kami.

Mengulas lanjut perkembangan artis di bawah bawah syarikatnya, kata Faizal, setakat ini pihaknya sudah memiliki tiga artis baru yang bernaung di bawah mereka iaitu Elizabeth Tan, Hanie Sooraya dan Aziz Harun.

“Ramai individu yang berminat untuk menjadi artis di bawah syarikat, tetapi kami sangat selektif kerana mencari artis yang berkualiti dan memiliki kelebihan tersendiri untuk mewarnai industri muzik.

“Contohnya, Elizabeth yang juga artis bukan Melayu, tetapi boleh menyanyi lagu Melayu dengan baik, Hanie pula berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi seorang doktor yang menuntut di Mesir dan Aziz pula artis muda yang berbakat besar.

“Selepas tiga artis solo, saya juga merancang untuk mengambil artis berkumpulan pula selepas ini,” katanya.

Impi hasilkan album untuk kanak-kanak

Walaupun fokus kepada kerja belakang tabir, Faizal mengakui ia bukan bermaksud dia sudah melupakan bidang nyanyian yang sudah menjadi darah dagingnya, sejak dulu.

Bagi mengubat kerinduan peminatnya, Faizal mempertaruhkan single terbarunya berjudul Assalamualaikum yang turut mendapat sambutan ramai.

“Saya juga merancang untuk menghasilkan album penuh yang dijangka siap pada pertengahan tahun nanti. Selain itu, saya memang suka dengan kanak-kanak dan merancang untuk menghasilkan album khusus untuk mereka selepas ini.

“Saya terima tawaran untuk bekerjasama dalam lagu tema drama berkonsep hip hop ini bukan kerana ingin buat album hip hop yang menjadi trend sekarang sebaliknya tertarik kerana ia lagu tema drama bersiri untuk untuk kanak-kanak

“Tiada salahnya saya mencuba sesuatu yang baru jika itu boleh menaikkan nama semula dalam industri muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 11:47 AM