AFFIQ meluangkan masa bersama pemain kostum Ultraman.
AFFIQ meluangkan masa bersama pemain kostum Ultraman.

Redzuan Muharam

[email protected]

KUALA LUMPUR: “Apa saya lakukan ini mungkin biasa bagi individu normal, tetapi besar maknanya bagi adik istimewa saya.

“Malah, saya gembira kerana dapat merealisasikan impiannya mahu bertemu Ultraman,” kata lelaki dikenali sebagai Arthur, 34, (bukan nama sebenar) yang mendapatkan khidmat pemain kostum Ultraman datang rumah demi menggembirakan adiknya Affiq yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Arthur berkata, sudah lama dia merancang membuat kejutan, tetapi hasrat itu tertangguh kerana belum berkemampuan disebabkan tiada pekerjaan tetap sebelum ini.

Kini, Arthur berkata, kewangannya stabil dan dia nekad meneruskan rancangannya dengan harapan kunjungan Ultraman menceriakan adiknya.

“Adik saya terbabit kemalangan ketika dia bayi dan insiden itu menyebabkan perkembangan mental terbantut hingga tidak dapat berjalan dan bertutur dengan lancar.

“Walaupun berumur 32 tahun, pemikirannya seperti kanak-kanak tiga tahun malah sejak kecil, rutin hariannya hanya menonton siri Ultraman dan Power Rangers.

AFFIQ teruja dapat bertemu   watak adiwira kegemarannya.
AFFIQ teruja dapat bertemu watak adiwira kegemarannya.

“Meskipun tidak faham jalan cerita, dia tetap seronok. Ayah membelikan cakera video digital (DVD) asli bagi memastikan adik dapat menonton siri adiwira kegemarannya berulang kali,” katanya.

Menurut Arthur, dia mengatur pertemuan adiknya dengan Ultraman di rumah dan puas apabila segala perancangannya menjadi.

Katanya, jika diberi kesempatan, dia bercadang mengundang pemain kostum Power Rangers pula.

“Saya mahu buat kejutan ini pada hari ulang tahun kelahirannya, tetapi terlepas tarikh itu kerana bekerja.

“Saya sedar minatnya, jadi apa salahnya tunaikan impian itu sebagai kenyataan.

“Malah, ia pengalaman tidak ternilai melihat kegembiraan adik meluangkan masa bersama watak kegemarannya walaupun hanya beberapa jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:54 AM