PENYANYI, Melda Ahmad. FOTO Aziah Azmee
PENYANYI, Melda Ahmad. FOTO Aziah Azmee
Ardini Sophia Sina


DIAMNYA selama beberapa tahun ini bukan kerana sudah melupakan bidang seni.

Namun, ada perkara lain yang perlu diberikan keutamaan sebelum kembali aktif di pentas seni suara.

Penampilannya menerusi lagu Kau Takkan Tahu bersama Zizan Razak membuka semula peluang Melda Ahmad memacu kerjaya nyanyiannya.

Jujurnya, wanita berusia 27 tahun ini bersyukur kerana dipilih sebagai rakan duet selebriti terkenal itu.

Sebaik saja lirik lagu berkenaan dimuat naik di YouTube, pendengar mulai tercari-cari siapakah pemilik suara wanita dalam lagu itu?

Berpandukan pembayang diberikan, ramai dapat meneka vokal itu miliknya.

Peminat yang sejak dulu cuba mencari Melda mulai mengikuti perkembangannya menerusi Instagram. Malah, ramai yang tidak sabar menantikan buah tangan terbaru daripadanya.

Menurut Melda, dia gembira kerana masih mendapat tempat. Malah, dia berterima kasih kepada komposer dan penulis lirik Kau Takkan Tahu iaitu Alif serta Ariz kerana memberi peluang kepadanya untuk menyanyikan lagu seterusnya berganding dengan Zizan.

“Dua tahun lalu, saya dipanggil untuk menyanyikan demo saja. Saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk berganding bersama Zizan pun. Bagaimanapun, ketika mereka memulakan sesi rakaman, Alif dan Ariz mahu saya nyanyikannya kerana berasa vokal saya sesuai dengan lagu mereka.

“Saya sebenarnya merancang kembali aktif apabila diberikan peluang itu. Saya berterima kasih dan bersyukur kerana ia membantu membuka ruang untuk saya tampil semula.

“Apabila lirik video dimuat naik, ramai yang tercari-cari pemilik suara itu. Zizan ada bagi pembayang suara itu milik penyanyi bernama Melda. Tidak sangka ramai yang berjaya meneka suara itu milik saya dan mulai mengikuti Instagram.

“Sebelum ini, Zizan pernah duet dengan Kaka Azraff dan membantu penyanyi berkenaan melonjakkan namanya. Saya juga berharap perkara yang sama tetapi tidak bermaksud menumpang populariti Zizan,” katanya.

Mereka yang menonton video klip Kau Takkan Tahu pasti menyedari tidak ada kelibat Melda sedangkan dia turut merakamkan suara untuk lagu berkenaan.

Kata Melda, ada juga yang bertanya kenapa dia tidak terbabit dengan penggambaran video klip dan mulai membuat pelbagai andaian.

Menjelaskan situasi berkenaan, katanya, ia adalah keputusan dirinya.

“Memang ada yang pelik kenapa tiada dalam video klip sedangkan banyak juga lirik lagu yang saya nyanyikan. Zizan sendiri rasa serba salah tetapi keputusan itu daripada saya sendiri.

“Saya tidak dapat memberikan komitmen kerana ia makan masa dan saya pula tidak boleh tinggalkan anak, Melora yang masih kecil. Kalau mahu tunggu saya takut melambatkan proses penggambaran. Saya tidak mahu susahkan sesiapa, itu yang mereka teruskan tanpa saya,” katanya.

Rancang rakam semula lagu lama

Pertambahan jumlah pengikutnya di Instagram kini jelas kelihatan.

Ada antara mereka peminat lama dan ada juga yang mulai meminati wanita ini selepas mendengar suaranya menerusi Kau Takkan Tahu.

Namun, mereka semua mempunyai permintaan yang sama iaitu ingin melihat Melda tampil dengan lagu sendiri. Melda juga sudah merancang kembali merakamkan semula lagu Putus dan Kimia.

“Dulu saya pernah muncul dengan dua lagu itu dan kongsikan di MySpace. Bagaimanapun, ia bukanlah dirakamkan secara serius. Sebab itulah saya memilih untuk kembali dengan dua lagu itu sebagai permulaan untuk aktif semula.

“Lagu itu saya hasilkan ketika masih remaja. Kalau pun saya akan bermula semula dengan lagu berkenaan, pastinya akan ada perubahan dari segi susunan muzik agar lebih mengikuti peredaran semasa tetapi masih mengekalkan identiti saya,” katanya.

Memberikan tumpuan pada pelajaran kemudian mendirikan rumah tangga pada 2013, seterusnya melahirkan seorang anak perempuan membuatkan Melda memilih memperlahankan langkahnya dalam bidang seni.

Tidak pernah terfikir pun untuk meninggalkan karier yang diminatinya itu. Nyanyian sentiasa mekar di hati anak bongsu daripada tiga beradik ini.

“Ada beberapa perkara yang perlu saya berikan keutamaan. Saya memperlahankan karier sebab belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya merancang kembali tetapi kemudian mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak.

“Saya tidak bolehlah pentingkan diri apatah lagi Melora masih kecil dan perlukan penjagaan rapi. Sekarang ini Melora sudah besar sedikit, jadi bolehlah saya cari masa untuk meneruskan kerjaya nyanyian pula,” kata Melda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:01 AM