SKUAD KHAS METRO

Kuala Lumpur “Kami tidak mahu tahu siapa kamu, kami hanya mahu tolong.”

Itulah diungkapkan seorang penjual pil gugur yang menyatakan perbuatannya menawarkan pil gugur adalah bertujuan untuk membantu wanita hamil akibat terlanjur dan langsung tidak mahu mencampuri urusan peribadi individu berkenaan.

Hasil perbualan antara penjual dengan wartawan mendedahkan bahawa tindakan mereka itu hanya untuk membantu wanita yang mungkin tersalah langkah ataupun terjerat dengan janji lelaki.

“Kita tak mahu tahu pun apa yang berlaku. Sama ada sah atau tidak (berkahwin atau berzina), kami jual ini hanya untuk bantu wanita.

“Rawatan ini (proses pengguguran) di klinik mahal ada yang menelan belanja sehingga RM3,000 bergantung kepada usia kandungan dan sebab itu ada wanita atau pasangan tidak mampu untuk kos setinggi itu.

“Beli pil ini murah saja harga RM300 hingga RM700, pasangan mampu untuk beli dan kesannya sama dengan rawatan di klinik,” katanya kepada wartawan.

Penjual itu berkata, jika ke klinik wanita hamil perlu melalui banyak prosedur dan ada pegawai kesihatan mahu melihat sijil perkahwinan berikutan itu ia merumitkan pasangan belum berkahwin.

Menurutnya, dia juga tidak berminat untuk mengetahui cerita pelanggan yang membeli pil itu dan tujuannya untuk membantu wanita yang memerlukan.

“Urus niaga boleh dilakukan secara tunai dan boleh juga dihantar melalui pos mengikut kepada kesesuaian pelanggan,” katanya.

INFOGRAFIK proses pembelian pil gugur janin. FOTO NSTP
INFOGRAFIK proses pembelian pil gugur janin. FOTO NSTP

Penjual makin berani

Meskipun pil gugur popular di negara ini, namun penjual produk itu menggunakan khidmat orang tengah bagi mengelakkan aktiviti mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Pil gugur boleh dibeli dengan mudah oleh sesiapa saja pada harga RM350 dan RM600 kononnya mengikut jenis ubat serta keberkesanannya.

Sebelum ini, pesanan pelanggan dilakukan secara dalam talian akan dihantar ke alamat dinyatakan menggunakan perkhidmatan kurier.

Namun, penjual pil semakin berani apabila mula menyediakan khidmat urus niaga secara tunai (COD) dan bersemuka dengan pelanggan.

Seorang penjual yang dikenali sebagai Amy, menjual dua jenis pakej ubat yang didakwa mampu untuk menggugurkan kandungan bawah tiga bulan secara berkesan.

Amy menawarkan pakej bernilai RM350 dan pembeli akan menerima lapan biji pil yang dipercayai mengandungi Misoprostol iaitu ubatan digunakan untuk merawat masalah ulser perut.

Keterangan penjual itu menyatakan pelanggan akan berasa sakit seakan senggugut dan dalam 100 orang pengambil pil ini akan ada seorang yang tidak mengalami keguguran.

Pakej kedua pula bernilai RM600 dan pelanggan akan menerima lima jenis pil iaitu empat biji pil mengandungi Misoprostol dan satu pil mengandungi Mifepristone.

Selain itu, penjual mendedahkan bahawa pil pakej kedua itu tidak akan mengalami sebarang kesakitan dan dijamin akan mengalami keguguran hari berikut selepas diambil.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, wartawan bersetuju untuk melakukan pembelian dan berjumpa dengan penjual terbabit di sebuah pasar raya di Kajang.

WARTAWAN (kiri) membeli pil gugur dengan harga RM300 hingga RM700 daripada Amy. Gambar kecil, pil gugur. FOTO NSTP
WARTAWAN (kiri) membeli pil gugur dengan harga RM300 hingga RM700 daripada Amy. Gambar kecil, pil gugur. FOTO NSTP

Menerusi perbualan WhatsApp dengan wartawan, penjual berjanji untuk menghantar pil berkenaan pada jam 1.30 petang.

Namun, 30 minit sebelum waktu dijanjikan dia memberitahu penghantaran ditunda ke jam 3 petang di lokasi sama.

Wartawan menunggu di lokasi sehingga jam 3.45 petang, wanita itu memaklumkan menghantar orang tengah untuk melakukan transaksi manakala aturan pengambilan pil itu dibuat menerusi mesej WhatsApp selepas wang diterima.

Wanita berusia 20-an yang menjadi orang tengah kepada peniaga itu kelihatan tergesa-gesa, malah dia memerhatikan keadaan sekeliling seperti berwaspada dengan kehadiran pihak berkuasa.

Kerana mahu mendapatkan maklumat lanjut wartawan cuba melengahkan wanita berkenaan dengan bertanyakan beberapa soalan termasuk cara pengambilan pil berkenaan.

“Saya tak tahu, saya cuma hantar, saya cuma runner (orang tengah). Tanya Mimi (peniaga),” kata wanita itu.

Sebaik menerima wang, wanita itu terus berlalu dan meninggalkan wartawan di lokasi tanpa mengira wang transaksi dan menghubungi peniaga itu memaklumkan urus niaga selesai.

Pemerhatian wartawan di laman sosial mendapati ada lambakan penjual menawarkan pil gugur dan dalam kalangan mereka ada yang berani bersemuka dengan pelanggan.

Risiko rahim pecah, maut

Pil gugur diimport dari luar negara popular dalam kalangan gadis dan wanita hamil akibat terlanjur sebenarnya mengandungi bahan untuk merawat masalah ulser perut.

Kerana mahu menyembunyikan kehamilan dan menutup aib ramai gadis dan wanita hamil akibat terlanjur menelan pil berkenaan tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri dalam tempoh jangka panjang termasuk boleh membawa maut.

Pengambilan pil yang mengandungi Misoprostol mengakibatkan kesan sampingan seperti kontraksi rahim dan membuka laluan pangkal rahim, mengakibatkan berlaku keguguran.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, pil kebiasaannya mengandungi Misoprostol 200mcg sebenarnya berfungsi melindungi dinding saluran pemakanan dan pencernaan.

Pil berkenaan bertindak mengurangkan rembesan gastrik sekali gus mengurangkan kesakitan dialami pesakit.

WANITA hamil memang  tidak dibenar  ambil pil mengandungi Misoprostol  kerana ia menyebabkan kontraksi rahim dan membuka laluan pangkal rahim yang mengakibatkan kandungan keguguran.
WANITA hamil memang tidak dibenar ambil pil mengandungi Misoprostol kerana ia menyebabkan kontraksi rahim dan membuka laluan pangkal rahim yang mengakibatkan kandungan keguguran.

“Kegunaan utama tablet yang mengandungi Misoprostol didaftarkan untuk merawat ulser perut. Kegunaan selain daripada itu adalah tidak dibenarkan. Misoprostol adalah jenis Synthetic Prostaglandin E1.

“Jadi, jika wanita hamil memang kita tidak benarkan mereka ambil ubat ini kerana ia menyebabkan kontraksi rahim dan membuka laluan pangkal rahim yang mengakibatkan kandungan keguguran,” katanya.

Menurutnya, pengambilan ubat berkenaan bagi tujuan pengguguran kandungan adalah sama sekali tidak dibenarkan kerana tidak selamat dan memudaratkan nyawa.

“Memang wanita terbabit akan keguguran tetapi risikonya kemungkinan besar proses itu tidak sempurna.

“Masih ada sisa tisu kandungan kehamilan dalam rahim yang boleh menyebabkan pendarahan sangat banyak.

“Rahim boleh pecah, kalau ada jangkitan kuman akan menyebabkan banyak komplikasi lain hingga membawa maut,” katanya.

Katanya, pengguguran memang dibenarkan jika kandungan itu memudaratkan kesihatan atau nyawa ibu, namun proses itu hanya boleh diteruskan selepas mendapat pengesahan daripada dua pakar perunding perubatan.

“Ada juga kes pengguguran dibenarkan atas sebab kecacatan janin yang tiada harapan untuk hidup contoh Anencephaly, iaitu bayi tanpa tempurung kepala atau kompilasi lain.

“Kaedah digunakan untuk pengguguran secara sah adalah memasukkan sejenis ubat prostaglandin F dalam faraj wanita hamil selain kaedah pembedahan kecil cuci rahim (ERPOC) dengan pengawasan pakar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 10:01 AM