MISOPROSTOL didaftarkan bagi tujuan mendorong proses kelahiran.
MISOPROSTOL didaftarkan bagi tujuan mendorong proses kelahiran.
Mohd Syafiq Abu Bakar dan Pegawai Farmasi Hospital Jelebu

Sejak kebelakangan ini, senario penjualan ubat dan produk kesihatan melalui pelbagai medium seperti media sosial atau dalam talian dilihat semakin berleluasa.

Pelbagai produk diiklankan secara terbuka di Facebook dan Instagram. Ini termasuklah ubat yang tidak berdaftar mahupun ubat berdaftar yang disalah guna.

Misoprostol adalah sejenis ubat terkawal dan hanya boleh dibekalkan kepada pesakit dengan preskripsi doktor.

Misoprostol terdapat dalam dua bentuk iaitu tablet dan pesari (ubat berbentuk pepejal). Namun begitu, produk misoprostol dalam bentuk tablet pada masa kini tidak lagi berdaftar di Malaysia.

Bagi produk misoprostol dalam bentuk pesari pula, hanya terdapat satu produk yang berdaftar di Malaysia. Produk ini didaftarkan bagi tujuan mendorong proses kelahiran saja.

Cara pengambilan misoprostol yang betul bagi indikasi dibenarkan sangat penting. Misoprostol boleh diambil dengan cara menelan atau dimasukkan ke dalam faraj bergantung pada bentuk dosej produk digunakan.

Masyarakat perlu tahu bahawa penggunaan misoprostol tanpa nasihat dan pemantauan pengamal perubatan adalah amat berbahaya.

Antara kesan sampingan misoprostol seperti kekejangan, cirit birit, loya, muntah, sakit perut, ruam, pening kepala dan peningkatan pengecutan otot rahim.

Selain itu, wanita mengandung juga tidak dibenarkan mengambil ubat ini tanpa kebenaran doktor kerana boleh menyebabkan keguguran.

Terdapat pihak menyalahgunakan ubat ini dan menjual secara haram sebagai pil pengguguran.

Tindakan ini amat ditegah kerana proses pengguguran yang tidak dilakukan dengan betul boleh mengakibatkan komplikasi seperti pendarahan teruk, rahim terkoyak dan pengguguran tidak sempurna. Sekiranya komplikasi berlaku dan pesakit tidak mendapatkan rawatan segera, ia boleh mengancam nyawa pesakit.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pelbagai langkah untuk memantau dan menyekat aktiviti penjualan ubat ini melalui Internet, namun perkara ini amat membimbangkan kerana masih tidak dapat dibendung secara menyeluruh.

Orang ramai dinasihatkan tidak membeli ubat ini secara dalam talian kerana perbuatan ini bukan saja menyalahi undang-undang, bahkan perkara yang lebih membimbangkan adalah isu ketulenan dan keselamatan ubat yang dijual.

Individu yang didapati melakukan kesalahan menjual ubat secara haram atau perbuatan menggugurkan kandungan tanpa nasihat pakar perubatan atas sebab perubatan tertentu juga satu kesalahan di sisi undang-undang.

Jelas di sini bahawa kedua-dua perbuatan penyalahgunaan ubat misoprostol dan menggugurkan kandungan tanpa nasihat pakar perubatan adalah dilarang dan perlu dihentikan.

Sekiranya perkara ini tidak dikawal, pelbagai implikasi akan timbul dalam masyarakat seperti peningkatan gejala sosial.

Dikhuatiri tiada lagi kerisauan dalam kalangan remaja sekiranya berlaku kehamilan tidak diingini kerana kandungan boleh digugurkan dengan mudah tanpa perlu mendapat rundingan daripada doktor di fasiliti kesihatan.

Pelbagai kempen dan program pendidikan pengguna dijalankan pihak kementerian untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyampaikan maklumat tepat mengenai penggunaan ubat yang rasional dan berkualiti. Perkara ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna ubatan sentiasa dilindungi.

Di Malaysia, setiap ubat yang berada di pasaran perlulah berdaftar dengan KKM untuk memastikan ubat itu berkualiti, selamat dan berkesan.

Terdapat dua ciri penting yang perlu dipamerkan pada label atau bungkusan produk untuk memastikan ubat itu berdaftar, iaitu nombor pendaftaran yang unik dan label Hologram Meditag.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian bebas tol 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 12:00 AM