PEGAWAI KKM melakukan siasatan terhadap premis yang dijadikan pusat pengumpulan pil gugur janin.
PEGAWAI KKM melakukan siasatan terhadap premis yang dijadikan pusat pengumpulan pil gugur janin.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Ulang-alik saban minggu antara India dan Malaysia bagi menjayakan ‘misi sulit’ menyeludup ribuan biji pil gugur janin dan pelbagai vaksin haram khusus bagi pasaran gelap tempatan.

Itu antara kegiatan penyeludupan dilakukan segelintir warga asing dari India yang dikesan berkomplot dengan warga tempatan hingga mampu memperoleh puluhan ribu ringgit setiap bulan melalui kegiatan haram itu.

Sumber berkata, sindiket didalangi warga tempatan itu dikesan membawa masuk pil gugur kandungan buatan India melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menyamar sebagai pelancong asing.

Menurutnya, pil itu kemudian dikumpulkan suspek di sebuah bangunan terletak di Jalan Masjid India di sini, selepas mengadakan komplot bersama orang tengah.

“Orang tengah dalam kalangan warga tempatan ini kemudian akan mengambil ubat-ubatan seludup itu sebelum diedarkan ke klinik dan farmasi di seluruh negara.

“Susulan risikan yang dijalankan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menahan beberapa warga India yang dikesan menjadi pembekal pil misoprostol digunakan untuk menggugurkan kandungan itu, baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, lelaki warga India itu didapati menjual sekotak pil misoprostol mengandungi 80 pil pada harga RM65 kepada orang tengah terbabit.

“Orang tengah kemudian menjual sekotak pil misoprostol itu pada harga RM650 sekotak dengan keuntungan 10 kali ganda pada klinik dan farmasi tertentu.

“Pil ini turut diedarkan kepada individu tertentu yang memasarkannya melalui atas talian. Berdasarkan siasatan, pil gugur janin online ini dijual pada harga sekitar RM43 hingga RM50 sebiji kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, keuntungan tinggi lebih RM500 bagi setiap kotak pil dijual menyebabkan sindiket ini terus aktif melakukan kegiatan haram itu

“Keuntungan tinggi diperoleh ini menyebabkan aktiviti sindiket sukar dibenteras sepenuhnya berikutan keuntungan tinggi diperoleh mereka,” katanya.

Menurutnya, lelaki warga India terbabit sudah dibebaskan, namun seorang lelaki tempatan dipercayai orang tengah berusia 40-an berjaya ditahan dan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF), KKM sedia maklum berhubung penjualan produk vaksin tidak berdaftar dan pil Misoprostol dari negara India di pasaran tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati produk itu dijual secara terus oleh warga tempatan kepada klinik perubatan swasta di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Hasil risikan dijalankan, BPF KKM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak disyaki dalam pengedaran dan penjualan produk vaksin tidak berdaftar ini.

“Dua suspek ditahan di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sebelum ini sebelum kami merampas lebih 350 produk vaksin tidak berdaftar bernilai lebih RM28,000,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemui lebih 1,400 tablet Misoprostol bernilai lebih RM63,000 disyaki dijual di pasaran gelap untuk tujuan pengguguran haram.

“Semua produk yang dirampas produk keluaran dari India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 8:24 AM