KEGUGURAN boleh berlaku jika si ibu mempunyai masalah berat badan berlebihan.
KEGUGURAN boleh berlaku jika si ibu mempunyai masalah berat badan berlebihan.
Hafiz Ithnin


"LELAKI juga boleh menjadi antara punca wanita mengalami keguguran anak. Usia yang meningkat, kualiti sperma menurun menyebabkan keguguran meningkat," jelas Pakar Metro IVF dan Perunding Kesuburan, Dr Tee Swi Peng ketika ditanya mengenai isu keguguran dalam kalangan wanita.

Malah, pakar itu juga menjelaskan antara faktor lain menyebabkan perkara itu berlaku adalah disebabkan gaya hidup membabitkan tabiat merokok, pengambilan kopi mengandungi kafein yang tinggi serta wanita yang mempunyai berat badan berlebihan.

"Selain itu, faktor usia wanita yang meningkat, kencing manis, keturunan, masalah darah beku dan pangkal rahim yang lemah turut menyumbang berlakunya keguguran," katanya.

Menjelaskan mengenai keguguran, pakar itu berkata, ketika ini, istilah keguguran jarang digunakan dan sudah diganti dengan frasa Early Pregnancy Loss (EPL).

"Namun, disebabkan masyarakat Malaysia lebih sinonim dengan istilah keguguran maka ia diguna pakai. Keguguran boleh ditakrifkan sebagai kegagalan kehamilan berlaku sebelum 13 minggu.

"American College of Obstetricians and Gynecologists

(ACOG) menganggarkan 26 peratus keguguran berlaku ketika kehamilan," katanya.

Katanya, bagi trimester pertama, risiko kadar keguguran dianggarkan 20 peratus malah semakin menurun selepas 12 minggu kehamilan seterusnya.

Tambahnya, kadangkala, wanita tidak sedar mengenai kehamilan dan keguguran spontan boleh berlaku dan tidak dilaporkan atau mendapat rawatan yang sewajarnya.

PENGAMBILAN kopi yang mengandungi kafein tinggi boleh menjadi faktor keguguran.
PENGAMBILAN kopi yang mengandungi kafein tinggi boleh menjadi faktor keguguran.

"Amat penting kepada wanita untuk mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan supaya tidak berlaku sebarang komplikasi lain yang boleh menggugat kesihatan wanita terbabit secara amnya," katanya.

Dr Tee berkata, beberapa kategori keguguran antaranya, keguguran terancang iaitu ibu mengalami pendarahan sedikit tanpa mengalami simptom sakit di abdomen atau perut.

"Kebiasaannya jika pemeriksaan lanjut dilakukan, pangkal rahim didapati tertutup dan pendarahan akan berhenti dalam dua atau tiga hari. Dalam situasi ini, ibu mampu meneruskan kehamilan sehingga saat melahirkan dengan pemantauan yang rapi.

"Kedua, keguguran terancam iaitu keguguran yang tidak dapat dielakkan kerana ibu mengalami pendarahan yang banyak kelihatan bertompok-tompok dan pangkal rahim didapati terbuka selepas doktor membuat pemeriksaan lanjut. Keguguran akan berlaku dalam tempoh satu hingga dua hari," katanya.

Dimaklumkan juga, kategori ketiga, keguguran lengkap iaitu janin dan uri keluar sekali dan disedari ibu. Imbasan akan memberikan imej rahim tanpa janin yang tertinggal di dalam.

Katanya, dalam kategori keguguran tidak lengkap iaitu janin dan uri sudah keluar melalui vagina tetapi ada sebahagian tisu tertinggal di dalam rahim dan pangkal rahim terbuka.

SEKIRANYA berlaku keguguran, perlu dilaporkan untuk pemeriksaan lanjut kepada pihak doktor untuk memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada si ibu.
SEKIRANYA berlaku keguguran, perlu dilaporkan untuk pemeriksaan lanjut kepada pihak doktor untuk memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada si ibu.

"Doktor perlu melakukan prosedur untuk keluarkan atau bersihkan saki baki yang mungkin tertinggal untuk mengelak daripada jangkitan atau komplikasi lain berlaku.

"Kategori kelima, pengguguran yang terlepas iaitu ibu tidak menyedari kandungan atau janin sudah meninggal. Selepas pemeriksaan dibuat, tiada denyutan jantung. Ibu tidak mengalami apa-apa simptom dan tiada pendarahan, tidak mengalami sakit perut dan hanya simptom mengandung seperti loya,"

katanya.

Tambahnya, kategori keenam membabitkan keguguran septik iaitu kebiasaannya ibu mempunyai suhu badan yang tinggi iaitu 37.8 darjah Celcius iaitu demam dan menggigil. Cecair putih yang kental berwarna kuning dan berbau busuk juga keluar daripada faraj.

"Terakhir, keguguran berulang yang merujuk kepada ibu mengalami dua hingga tiga kali keguguran berturut-turut tidak termasuk kandungan luar rahim atau anggur (modular).

"Kehamilan anggur adalah kehamilan yang tidak menjadi di mana uri dan janin tidak membentuk dengan betul serta bayi tidak berkembang sebaliknya menjadi tisu-tisu berupa anggur," katanya.

Katanya, mengenai kemampuan untuk hamil semula, jika berumur 25 tahun, pasangan boleh menunggu sehingga tiga kitaran untuk cuba hamil kembali.

"Manakala, pasangan yang berumur 35 tahun ke atas, disarankan untuk mencuba kembali selepas dua bulan keguguran yang lalu," katanya.

KESIHATAN ibu mengandung perlu diawasi bagi mengelakkan keguguran.
KESIHATAN ibu mengandung perlu diawasi bagi mengelakkan keguguran.

Tambahnya, sebanyak 50 peratus daripada keguguran yang berlaku tidak diketahui sebabnya dan pasangan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

"Sokongan moral daripada pasangan amat penting kerana gangguan emosi selepas keguguran dialami sekali gus dapat membantu wanita untuk terus cuba mendapatkan zuriat dalam masa terdekat.

"Dapatkan rawatan yang bersesuaian jika mengalami kesukaran untuk hamil lagi dan kaedah penjagaan yang baik sehingga kelahiran menerusi khidmat rundingan doktor pakar," katanya.

Ujarnya, rawatan terkini untuk keguguran berturut-turut adalah melalui rawatan bayi tabung uji atau in-vitro fertilisation (IVF).

"Telur ibu akan dirangsangkan untuk mengeluarkan telur sebanyak mungkin. Telur itu dan disenyawakan dengan sperma di dalam makmal. Pada hari kelima, embrio yang terhasil akan dianalisa melalui kaedah Diagnosis Preimplantasi Genetik (PGD) jika ada sebarang kecacatan atau kromosom tidak normal.

"Hanya embrio yang normal sahaja yang akan dimasukkan ke dalam rahim ibu untuk proses implantasi," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:00 AM