ZULFIANSHAH berada di sisi jenazah ibunya, Halilah meninggal dunia selepas digilis lori di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO ihsan APM
ZULFIANSHAH berada di sisi jenazah ibunya, Halilah meninggal dunia selepas digilis lori di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA maut manakala anaknya cedera ringan selepas motosikal ditunggang mereka bergesel dengan lori di Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Pahang berhampiran Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, mangsa, Halilah Mat Musa, 53, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala anaknya, Zulfianshah Syaifullah, 18, hanya cedera ringan.

Suasana di tempat kejadian agak pilu apabila Zulfianshah yang duduk di sisi jenazah ibunya kelihatan menangis dan sukar mengawal perasaan sebelum ditenteramkan orang awam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati mangsa membonceng motosikal Modenas Jaguh ditunggang anaknya dari arah Jalan Tun Razak dalam perjalanan pulang ke rumah di Segambut Dalam, selepas selesai urusan di pejabat Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mereka yang berada di lorong kiri cuba mengelak kereta keluar dari susur IJN di depan kenderaan mereka.

“Ketika motosikal itu mengelak masuk ke lorong kanan, kenderaan itu bergesel dengan lori menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh sebelum wanita itu digilis lori yang tidak berhenti dan meneruskan perjalanan sejurus kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta memberikan maklumat kepada pihak polis.

Beliau berkata, pemandu kereta dan lori terbabit dalam kejadian itu diminta tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(C) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 9:24 PM