WANI  akan terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menyertai program realiti TV, D’Academy Asia musim keempat (DAA4).
WANI akan terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menyertai program realiti TV, D’Academy Asia musim keempat (DAA4).
Norhayati Nordin


MAHU melangkah lebih jauh, pengorbanan besar perlu dilakukan. Itulah keputusan nekad penyanyi Wani Kayrie, 18, yang terpaksa meninggalkan keluarga tercinta hari ini.

Wani akan terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menyertai program realiti TV, D’Academy Asia musim keempat (DAA4).

Keputusan itu sekali gus meletakkan dirinya sebagai seorang daripada enam peserta yang mewakili Malaysia di pertandingan itu.

Bersua Wani pada sesi fotografi baru-baru ini, dia mengakui sudah bersedia berhadapan dengan peserta negara lain.

“Seperti diketahui, pertandingan DAA4 sangat berpengaruh di Indonesia dan menyertainya adalah impian saya.

“Apatah lagi, sejak kecil saya memang suka dan minat lagu dangdut. Inilah masanya untuk sahut cabaran,” katanya.

Ditanya, tidakkah dia sedih perlu berjauhan dengan keluarga dan insan tersayang lebih dua bulan lamanya?

Jelasnya, perasaan sedih itu memang ada tetapi dia terpaksa kuatkan hati untuk meneruskan misi ini.

“Apapun, keluarga dan mereka yang rapat dengan saya faham kerana ini impian saya sejak sekian lama.

“Tidak mudah untuk dapatkan peluang yang mampu menjadi pembuka langkah karier nyanyian saya di negara jiran.

“Saya ada pasang impian untuk melebarkan karier nyanyian di Indonesia dan ini salah satu caranya.

“Harapan saya, semoga apa yang dilakukan ini berjaya dan membuahkan hasil,” katanya.

Mengulas mengenai percintaannya, Wani berkata, ada cita-cita yang perlu dikejar dan memerlukan fokus berbanding perasaan peribadi.

“Kisah cinta tidak perlu diulas kerana fokus utama saya sekarang adalah DAA4.

“Ada lebih 30 peserta yang menjadi saingan saya dalam DAA4 dan keupayaan mereka belum diketahui.

WANI.
WANI.

“Untuk terus kekal di pentas DAA4, selain keupayaan menyanyi lagu dangdut dengan vokal mantap, saya perlu kreatif buat persembahan,” katanya.

Menurut anak sulung dalam keluarga ini, dia mahu melakukan sebaik mungkin untuk bertahan dalam pertandingan itu.

Wani juga bersedia sepenuhnya untuk berdepan kritikan pedas barisan juri pertandingan itu.

“Apa saja kritikan dan teguran juri nanti, saya terima dengan hati terbuka, tenang dan positif.

“Selain itu, saya juga mendapatkan pandangan daripada Baby Shima yang pernah bertanding dalam DAA3 lalu,” katanya.

Tidak gentar dengan kepenatan yang akan dirasai, Wani berkata, itulah antara pengorbanan harus dilakukannya.

Selain Wani, DAA4 turut disertai Tika (3 Juara), Sarah Fazny, Fauziah Gambus dan dua penyanyi lelaki.

Selepas single Aku Suka Kamu, Wani kini mempertaruhkan single Saat Terindah.

Single terbaru itu ciptaan bersama komposer Rudy Kasmaran dan Sang Hitam manakala lirik ditulis Rudy Kasmaran.

Memandangkan terikat dengan DAA4, Wani menangguhkan perancangan mempromosikan single itu.

“Buat masa ini saya kena tangguhkan dulu apa saja aktiviti promosi single Saat Terindah.

“Syukur, syarikat rakaman SRC faham malah menyokong saya fokus terhadap DAA4,” katanya.

Mengulas hala tuju karier nyanyiannya pada masa akan datang, Wani berkata, ia bergantung pada kejayaan dalam DAA4.

“Kalau ada rezeki saya untuk mengorak langkah lebih jauh di Indonesia dengan irama dangdut, mungkin akan diteruskan.

“Namun, jika sebaliknya pula saya akan teruskan karier seperti yang diaturkan SRC,” katanya yang mengharapkan doa dan sokongan peminat setianya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 4:15 AM