WANI mendapat biasiswa dari universiti kerana layak. FOTO Arkib NSTP
WANI mendapat biasiswa dari universiti kerana layak. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PENYANYI Wani Kayrie menafikan dia mendapat biasiswa dengan mudah daripada universiti kerana status sebagai penyanyi.

Wani, 19, memberitahu dia berjaya menerima biasiswa berjumlah lebih RM60,000 untuk pengajiannya mengikut penilaian ditetapkan.

"Saya layak menerima biasiswa ini kerana keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan aktif kokurikulum di sekolah.

"Karier sebagai penyanyi sama sekali tidak pernah dijadikan 'tiket mudah' atau batu loncatan untuk saya mendapatkan sesuatu," katanya.

Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, tidak adil untuknya menggunakan status penyanyi demi mendapatkan biasiswa berkenaan.

"Saya dipilih mendapat biasiswa dari universiti kerana layak. Bukan dipilih berdasarkan karier sebagai penyanyi.

"Kini, tekad saya mahu belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya menggenggam ijazah dalam jurusan undang-undang.

"Bukan mudah untuk bergelar peguam. Apatah lagi, untuk merealisasikan impian ibu, Rukiah Kalapukong, 41," katanya.

Wani yang popular dengan lagu Jangan-Jangan kini sudah pun memulakan pengajiannya di universiti swasta di Shah Alam sejak awal bulan ini.

Semakin selesa dengan rutin sebagai pelajar, anak sulung daripada tiga beradik itu juga masih aktif menyanyi.

"Walaupun kelas sudah bermula tetapi, penting untuk saya mengatur jadual sebaik mungkin. Apatah lagi, tidak ada halangan untuk terus aktif menyanyi.

"Cuma, saya harus pastikan mengatur masa belajar dan aktiviti menyanyi seiring. Bahkan, pelajaran tidak diabaikan," katanya.

Sehubungan itu, bagi karier nyanyiannya Wani muncul dengan lagu terbaharu genre balada berjudul Saat Terindah.

Katanya, apa yang pasti sekarang keutamaan lebih terarah pada pelajaran kerana masih perlu menyesuaikan diri.

"Apabila menjejak kaki ke universiti untuk melanjutkan pengajian, suasananya tentulah tidak sama seperti di sekolah menengah dulu.

"Sekarang, saya harus fokus dan memberi perhatian pada pelajaran untuk jaminan masa depan saya nanti," katanya.

Wani berkata, sebagai anak dia sangat menghormati impian ibunya dan sedaya-upaya akan berusaha menunaikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:44 PM