GENRE pop koplo yang dipilih ini sesuai dengan vokal
GENRE pop koplo yang dipilih ini sesuai dengan vokal
Norhayati Nordin


MESKIPUN jadualnya kini difokuskan pada pelajaran kerana bergelar mahasiswa, impian untuk muncul dengan lagu baru tidak dilupakan penyanyi remaja, Wani Kayrie, 19.

Wani yang mengakhiri kontraknya bersama syarikat rakaman SRC beberapa bulan lagi akan merakamkan lagu baru bergenre pop yang disuntik elemen koplo.

Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah berkongsi perancangan lagu baru yang akan dirakam.

“Setakat ini, saya sudahpun bertemu komposer yang akan bekerjasama untuk lagu baru berkenaan iaitu Alif (Magic Potions).

“Hasil perbincangan itu, Alif nampaknya berminat untuk menghasilkan lagu bergenre pop koplo yang saya impikan selama ini.

“Genre pop koplo yang dipilih ini sesuai dengan vokal serta jiwa saya kerana ia memuatkan gabungan pop dan dangdut koplo,” katanya.

Menurutnya, dia juga bersyukur apabila pihak SRC sudi membantu merealisasikan impiannya untuk merakamkan lagu terakhir bersama syarikat itu.

Katanya, dia berhasrat meninggalkan sebuah lagu yang memiliki impak tersendiri dan karya boleh dibanggakan SRC di bawah nama Wani Kayrie.

“Ia semestinya lagu yang menepati cita rasa saya sebagai penyanyi dengan mengambil kira kesesuaian vokal dan genre muzik pilihan.

“Apatah lagi, saya akui selain meminati muzik pop, dangdut juga jadi pilihan. Jadi, seiring perkembangan muzik masa kini, tidak salah mencuba gabungan pop dan dangdut koplo.

“Saya juga yakin dengan hasil lagu yang akan dicipta Alif kerana sudah berbincang dan kami juga berkongsi pandangan,” katanya.

Kata Wani, dia mengharapkan semoga lagu baru itu diterima baik pendengar. Jelasnya, dia percaya pendengar pasti memberi sokongan pada lagu berkualiti dan sedap didengar.

Terdahulu, Wani yang aktif menyanyi sejak kanak-kanak sudah menimba banyak pengalaman menyertai pertandingan menyanyi termasuk mewakili Malaysia ke Hollywood pada 2012.

Wani juga setakat ini sudah muncul dengan lagu seperti Jangan Jangan, Berteman Saja, Kumbang & Bunga, Aku Suka Kamu dan terbaru, Saat Terindah.

WANI dan keluarga.
WANI dan keluarga.

BELAJAR, MENYANYI SEIRING

Memilih jurusan undang-undang untuk jaminan masa depannya, Wani berkata, ia pilihan tepat. Biarpun perlu mengorbankan beberapa perkara demi mengejar cita-cita itu, Wani positif kerana yakin bukan mudah untuk berjaya.

“Apa yang pasti saya masih dapat luangkan masa aktif menyanyi sambil belajar. Ia cukup membuatkan saya gembira dan puas.

“Justeru, saya susun jadual baik-baik supaya kedua-dua perkara yang diminati iaitu belajar dan menyanyi dapat berkembang seiring,” katanya.

Bercerita pengalaman menjadi penuntut, Wani memberitahu dia masih dalam peringkat asas undang-undang sebelum menyambung ke peringkat ijazah.

Bagaimanapun katanya, cabaran paling utama dihadapinya adalah me­nyesuaikan diri dengan penuntut lain.

“Walaupun sudah melalui peringkat suai kenal, saya tetap berasa masih ada jurang dengan penuntut sekuliah yang lain.

WANI yakin pendengar pasti beri sokongan pada lagu berkualiti dan sedap didengar. FOTO: Aziah Azmee
WANI yakin pendengar pasti beri sokongan pada lagu berkualiti dan sedap didengar. FOTO: Aziah Azmee

“Kebanyakan mereka bimbang mendekati saya terutama apabila kami perlu bekerja secara berkumpulan kerana menganggap saya seorang artis.

“Walaupun sudah acap kali berpesan supaya melayan saya sama seperti pelajar lain, mereka masih kekok atau malu-malu,” katanya.

Kata Wani, enggan membiarkan keadaan janggal, dia biasanya akan memulakan perbualan supaya rakan sekuliah berasa selesa dan memudahkan mereka bekerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 6:00 AM