Amir Abdul Hamid

Makassar: Bergenang air mata Artika ketika menceritakan kepada wartawan mengenai keinginannya berjumpa keluarga di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia yang masih gagal dihubungi sejak Jumaat lalu.

Wanita berusia 34 tahun itu masih terkandas di Pangkalan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) Sultan Hasanuddin di sini, meskipun sudah dua malam mencuba nasib menumpang pesawat pengangkut C-130 Hercules TNI-AU untuk pulang ke Palu.

Dia yang sudah 20 tahun merantau ke Kalimantan dan Surabaya, meluahkan rasa rindu kepada keluarga khususnya bapanya, Sudirman, 70-an.

“Saya hanya tahu malapetaka itu melanda selepas menonton siaran berita di televisyen ketika bekerja di kedai cermin mata di Surabaya.

“Ibu memang sudah lama meninggal dunia dan sejurus menyaksikan laporan berita perkara pertama terdetik dalam fikiran saya bagaimana nasib bapa.

“Menerusi laporan berita, kampung saya di Desa Robu, Kecamatan Tompei pantai barat Palu musnah akibat gempa bumi dan tsunami. Tetapi saya takkan puas hati selagi tidak melihatnya sendiri,” katanya.

Artika, ditemani suaminya Simon, 38, menyatakan keyakinan bapa yang dirinduinya itu masih hidup dan terselamat daripada malapetaka melanda.

Menurutnya, dia tidak berputus-asa dan terus berusaha mencari bapanya meskipun berdepan kesukaran untuk pulang ke Palu.

Berkongsi kesedihan Ana Salim, 32, berasal dari Mamboro, Palu Utara berkata, sebelum bencana tsunami dan gempa bumi, dia ke Makassar untuk memenuhi jemputan saudara.

“Ketika itu saya tinggalkan anak perempuan bernama Shakila, berusia lima tahun di kampung di Mamboro, Palu Utara, bersama keluarga. Tak tahu apa khabar mereka sekarang kerana jarak antara rumah kami dan pesisir pantai cuma 11 meter saja.

“Turut berada di kampung, keluarga abang dan dua adik saya yang membantu menjaga Shakila, juga anak perempuan tunggal saya.

“Sekelip mata bencana melanda kampung, saya sedih kerana sampai sekarang (semalam) belum dapat pulang ke sana,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pangkalan TNI-AU Sultan Hasanuddin, semalam mendapati lokasi itu sesak dengan orang ramai yang mahu pulang ke Palu, berikutan kerajaan menyediakan penerbangan ihsan percuma ke kawasan bencana itu.

Penerbangan ihsan percuma itu bukan saja digunakan penduduk berasal dari Palu, sebaliknya sukarelawan tempatan dan luar negara.

Difahamkan setiap hari hanya enam penerbangan ihsan menggunakan pesawat pengangkut C-130 Hercules.

Tinjauan juga mendapati, lori membawa muatan bantuan ke kawasan terjejas gempa dan tsunami lalu turut bersusun panjang di luar pangkalan ini kerana menunggu giliran.

Lagi berita berkaitan Palu Merintih

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:55 PM
ARTIKA menceritakan keinginannya berjumpa keluarga di Palu yang masih tidak dapat dihubungi. FOTO Amir Abdul Hamid
ARTIKA menceritakan keinginannya berjumpa keluarga di Palu yang masih tidak dapat dihubungi. FOTO Amir Abdul Hamid