Amir Abd Hamid


PALU: “Walaupun saya sudah alami dahsyatnya bencana gempa bumi, tsunami dan gulungan lumpur itu, saya pasti kembali ke sini.

“Saya sudah selesa mencari rezeki di kota Palu. Saya pasti kota ini akan dibangunkan semula,” kata Januari Waidin, 20, tukang masak yang berasal dari Kecamatan Mandailing Natal, Sumatera Utara.

Januari berkata, dia jatuh hati dengan Palu sepanjang dua tahun bekerja di kota yang kini lumpuh akibat dibadai tsunami dan gempa bumi, 28 September lalu.

“Namun saya perlu pulang ke kampung sebab ibu saya yang berusia 52 tahun, Nur Jasti mahu lihat keadaan saya di depan matanya.

“Saya sering menelefon ibu menyatakan saya selamat serta boleh bekerja di sini.

“Jam 9 malam hari kejadian bencana, saya dapat hubunginya. Ibu menangis cemas, jika tak dihubungi bisa (boleh) pengsan,” katanya.

Beliau ditemu bual wartawan di dalam ruang kargo pesawat C-130 Hercules milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) sebelum kami dan lebih 100 penumpang lagi berlepas dari Lapangan Terbang Sis Al Jufri, Palu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar menerusi penerbangan ihsan TNI-AU.

Semalam, misi kedua menyampaikan bantuan anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) diketuai Timbalan Presidennya Mohd Johari Ismail kepada mangsa bencana di Palu tamat.

Misi itu bermula 5 Oktober hingga 10 Oktober lalu namun dilanjutkan dua hari untuk memberikan bantuan tambahan lampin, susu bayi, beras, makanan segera dan air mineral yang pembeliannya dilakukan di Makassar.

Pembelian itu hasil sumbangan orang ramai dan masyarakat prihatin yang mahu membantu mangsa tsunami dan gempa bumi di Palu.

Mereka boleh hulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.

Slip sumbangan boleh SMS atau WhatsApp kepada Ustaz Rashdan di talian 017-3333881, Ustaz Safuan (0134886447), Johari (016-9978323) atau Zulkifli (019-2518771).

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di lapangan terbang ini mendapati ratusan penduduk di Palu, Sigi dan Donggala yang bimbang kemungkinan berlaku bencana lagi mengambil peluang keluar dari kawasan terbabit dengan penerbangan ihsan TNI-AU.

Malah gegaran masih berlaku termasuk dirasai wartawan dan Mohd Johari ketika menumpang tidur di rumah kedai Toko Obat Sinar 2, Jalan Anoa 1 di sini, kelmarin.

Wartawan yang ketika itu baru saja habis mandi tiba-tiba terasa keseluruhan premis bergegar jam 9.12 malam disusuli jeritan di luar.

Sebaik diperiksa, rupa-rupanya tuan rumah, Ahmad Tempo Malloroang, 67, anaknya, Mohd Basron Ahmad, 38, serta seluruh anggota keluarga itu sudah pun berada di luar rumah sebagai langkah berjaga-jaga bagi menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 9:27 AM
PENULIS bersiap sedia berlepas menggunakan pesawat TNI-AU untuk keluar dari kawasan bencana di Sulawesi Tengah, Indonesia.
PENULIS bersiap sedia berlepas menggunakan pesawat TNI-AU untuk keluar dari kawasan bencana di Sulawesi Tengah, Indonesia.