Makassar: Sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dalam misi menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia terpaksa menaiki bas mini untuk ke Palu.

Terdahulu, 10 sukarelawan termasuk empat doktor itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, di sini, pada jam 12 tengah hari, semalam dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ketua Misi Timbalan Presiden Muslim Care Mohd Johari Ismail berkata, mengikut perancangan awal mereka menaiki penerbangan komersial atau menumpang pesawat pengangkut Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) ke lokasi bencana.

Bagaimanapun, katanya, kesukaran mendapatkan penerbangan menyebabkan mereka mengubah perancangan menaiki bas mini disewa khas.

“Petang ini (semalam) kami menuju ke Mamuju, kemudian baru teruskan perjalanan dengan pesawat untuk ke Palu. Perjalanan ke Mamuju dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam.

“Kami mahu sampai segera kerana Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan kini berada di Palu memaklumkan mangsa amat mengharapkan bekalan makanan dan minuman,” katanya.

Beliau berkata, menerusi misi enam hari bermula 5 hingga 10 Oktober itu pihaknya turut membawa bersama pek makanan kembara Brahim’s keluaran Dewina Food Industries Sdn Bhd untuk diagihkan kepada mangsa.

“Doktor yang bersama kami akan berikan rawatan kepada mangsa. Kami dimaklumkan ramai mangsa belum menerima rawatan berikutan kekurangan doktor di Palu.

“Mangsa perlu diberi rawatan secara fizikal dan mental, mereka dalam ketakutan dan trauma amat memerlukan sokongan daripada segi psikologi,” katanya.

Orang ramai mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882 atau Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.

SMS atau WhatsApp slip sumbangan kepada Ustaz Rashdan 0173333881, Ustaz Safuan 0134886447, Haji Johari 0169978323 atau Haji Zulkifli 0192518771.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:39 PM