AMELINA kerja keras rasa enam cahaya mata. FOTO/FAIL
AMELINA kerja keras rasa enam cahaya mata. FOTO/FAIL
Rudy Imran Shamsudin


SELEPAS berpisah dengan bekas suami dan membina hidup baharu bersama enam cahaya mata, penyanyi yang pernah digelar ratu dangdut oleh peminat, Norazlina Amir Sharipuddin atau Amelina berdepan pelbagai onak duri.

Tidak mudah untuk ibu tunggal sepertinya membina semula hidup apatah lagi anak-anak semakin membesar dan memerlukan perhatian sepenuhnya. Sepanjang 15 tahun perkahwinan dengan ahli perniagaan, Reduan Mahamood, Amelina dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur Athirah, 17, Putera Al Arffa, 16, Putera Al Asyraff, 15, Puteri Nur Asyurrah, 13, Putera Al Arffa dan Putera Al Amzarr, 9.

Mujur, kata Amelina, dia masih ada ibu dan adik-beradik sebagai tempat bergantung sementara cuba kembali bertapak dalam industri seni. Kemahiran dan bakat yang masih bersisa dalam diri itu dijadikan sumber pendapatan bagi membeli secupak beras untuk membesarkan anak-anak.

Ditemui baru-baru ini kata Amelina dalam sebak yang cuba ditahan, orang mungkin melihat keputusannya untuk kembali aktif menyanyi tampak mudah kerana pernah bergelar ratu dangdut.

“Itu hanya tanggapan orang, hakikatnya apabila kembali menyanyi saya terpaksa bermula dari bawah kerana sudah 15 tahun menyepi.

“Selepas bercerai saya tidak menerima sebarang wang sara hidup. Segalagalanya atas bahu dan kepala saya sendiri. Apa yang saya katakan ini bukan kerana mahu menagih simpati. Tidak sama sekali sebab saya masih punya bakat dan tenaga untuk bekerja.

“Untuk bangkit kembali saya perlu cepat dan tidak boleh tunggu. Ada enam mulut yang perlu saya suapkan makanan setiap hari.

“Cuma tanggapan yang mengatakan selepas diceraikan saya boleh kembali menyanyi dan mudah untuk menempatkan diri sebenarnya tidak benar,” katanya.

Cerita Amelina, perkara itu mungkin menjadi mudah sekiranya mereka yang pernah digelar ‘diva’

dan bakat diminati tidak pernah sekalipun hilang daripada dunia seni.

“Maksud saya, walaupun seorang penyanyi yang pernah popular itu berkahwin dia masih aktif menyanyi dan kemudian bercerai pun dia masih menyanyi nama penyanyi itu akan terus menjadi sebutan orang. Berkahwin dan bercerai 100 kali pun, tidak mungkin namanya akan hilang.

“Tetapi saya dan sudah menghilang lama ada antara peminat sudah lupa. Jadi, untuk bertapak saya

harus berusaha seperti mana saya mula-mula menyanyi dulu,” katanya.

Kembali dengan industri yang sudah jauh berubah membuatkan Amelina agak terkebelakang dan kini harus berusaha gigih agar kerjayanya berjalan lancar.

“Walaupun sudah ketinggalan, berkat bantuan teman-teman lama dalam industri saya mula merangkak kemudian bertatih dan kini baru dapat berdiri kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 4:15 AM