Amelina
Amelina
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Rindu yang sekian lama membungkam hati akhirnya terlerai jua. Tarikh 20 November 2014 menjadi saksi pertemuan Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 40, dengan rakan media yang merinduinya hampir 15 tahun.

Penyanyi yang turut mendapat jolokan 'ratu dangdut' itu meninggalkan industri muzik tempatan secara mengejut ketika namanya berada di puncak apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand.

Dalam tempoh itu, dia mengelak tampil di khalayak ramai dan pada waktu sama peminat setia hanya me­ngikuti perkembangan dirinya menerusi beberapa khabar angin tanpa pengesahan tuan punya badan.

Pertemuan diatur syarikat pengurusannya, Wake The Baby akhirnya meleraikan segala spekulasi ditimbulkan sebelum ini, terutama apabila gambar pertemuannya bersama penyanyi Maya tersebar di laman sosial dan portal hiburan, baru-baru ini.

Benar telahan dibuat sebelum ini, Amelina bakal kembali menghangat-kan industri muzik tempatan dan dia kini bersedia menghiburkan peminat yang merinduinya selama ini.

Pasti persoalan utama yang ditanya, kenapa sekarang dan tidak sebelum ini untuk kembali menyanyi apabila ruang untuknya aktif sentiasa terbuka. Bukan tidak ada pihak berminat melamarnya untuk merakam album, tetapi semua ditolak.

Tentu apabila Amelina membuat keputusan kembali menyanyi, ia akan dikaitkan dengan rumah tangga dibina hampir 16 tahun. Adakah Amelina bercerai dengan suaminya, Reduan Mahamood?

Pertemuan itu memberi ruang untuk penyanyi yang popular dengan lagu Asyik itu menjelaskan segala-galanya.

Katanya, dalam tempoh 16 tahun itu dia mahu memberi tumpuan kepada rumah tangga dan menguruskan enam anaknya iaitu Puteri Nur Athirah, 13, Putera Al'Affiq, 12, Putera Al'Asyraff, 11, Puteri Nur Asyurah, 9, Putera Al-Affa, 7, dan Putera Al-Amzar, 5.

"Sekarang anak sudah pandai berdikari, sekali gus membolehkan saya membuat keputusan ini. Begitupun, kurangnya keyakinan diri dan pelbagai cerita negatif dikaitkan dengan diri saya sebelum ini membuatkan berat hati untuk membuat kemunculan kembali.

"Jujur, saya memang takut. Saya berasakan orang tidak lagi suka dengan saya, begitu juga pihak media. Pelbagai perkara bermain di fikiran, menyebab­kan saya menidakkan kehendak hati untuk kembali menyanyi.

"Keputusan mahu menyanyi semula dibuat selepas saya melakukan solat istikarah sebanyak tiga kali. Selepas solat kali ketiga itu, baru saya nampak bayang dan hati menjadi kuat untuk meneruskan niat yang terpendam sekian lama," katanya.

Cerita Amelina lagi, dia yakin apabila langkahnya untuk kembali aktif berjalan mudah apabila semua dirancang berjalan sempurna. Apatah lagi Wake The Baby merangka perjalanan kerjaya seninya dengan baik.

Mengenai keputusan ini ada kaitan dengan masalah rumah tangga, Amelina merayu supaya langkah kembali membina kerjaya tidak dikaitkan dengan perihal peribadi.

Yang penting, katanya, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang kerana hidup manusia harus menuju ke depan.

"Apa yang saya buat ini demi anak. Saya yakin kerana niat saya ikhlas kembali bekerja untuk membina hidup, menyebabkan Allah memudahkan laluan.

"Saya percaya dalam hidup Allah memberi seseorang itu tiga kali peluang untuk memperbaiki diri. Saya pernah sekali melakukan kesilapan dan merasai kesannya.

"Saya minta pada Tuhan supaya memberi saya sekali lagi peluang. Sudah tentu pe-ngalaman lalu banyak mengajar dan saya harus berhati-hati dan tidak mensia-siakan peluang kedua diberikan ini.

"Sebab itu saya harus bekerja keras dan setiap kali keluar rumah untuk bekerja, saya akan pandang wajah anak satu persatu supaya mengingatkan saya apa yang saya lakukan ini untuk mereka," katanya.

Kata Amelina, dia tidak mahu menyentuh soal peribadi, apatah lagi mengenai rumah tangga, kerana bimbang andai cerita peribadi dijaja, dia akan dipandang negatif oleh peminat.

Tegas Amelina, ia akan membabitkan banyak hati dan sebaik mungkin dia tidak mahu menyakiti mahupun melukai perasaan orang disayangi disebabkan keputusan diambil untuk aktif kembali.

Berkongsi cerita mengenai anak, Amelina akui sepanjang membesarkan enam cahaya matanya, tidak seorang pun tahu ibu mereka satu ketika dulu pe-nyanyi popular dan digelar diva dalam genre muzik dangdut.

"Apabila dewasa, mereka tahu sedikit selepas melihat lagu atau klip video nya­nyian saya dimuat naik di laman sosial YouTube. Namun, mereka tidak tahu impak populariti yang pernah diraih ibu mereka hing­galah mereka pulang ke kampung dan duduk dengan nenek mereka.

"Di kampung, nenek mereka meng­gantung gambar saya di dinding, piala pernah saya terima dan nenek mereka juga sering bercerita perkembangan kerjaya nyanyian saya satu ketika dulu," katanya.

Kata Amelina, anaknya mula merasai impak apabila berita mengenai dirinya di laman sosial mula tersebar hingga anak sulungnya bertanya bagaimana mereka hendak berdepan situasi itu.

"Saya jelaskan kepadanya, itu perkara normal dan mereka semua harus belajar menerima hakikat itu. Paling penting, saya ­ingatkan supaya mereka menjaga perlakuan.

"Berbuat baik dengan semua orang yang berbuat baik kepada kita dan jika ada cerita negatif, jangan diterima bulat-bulat kerana seharusnya mereka lebih kenal ibu mereka berbanding orang luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:01 AM