Meor Riduwan Meor Ahmad dan Fahmy Azril Rosli


CALON Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki menewaskan calon MCA Tan Chee Teong dengan majoriti 18,533 undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Rosli Othman ketika mengumumkan keputusan berkata, Siew Ki memperoleh 22,508 undi manakala Chee Teong meraih 3,975 undi dalam pertandingan satu lawan satu itu.

“Saya dengan ini mengumumkan Siew Ki dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong,” katanya dalam pengumuman di Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat, malam ini.

Sementara itu, Rosli berkata, peratusan jumlah pengundi yang keluar mengundi adalah 43 peratus atau 26,483 orang.

Katanya, bilangan kertas undi yang ditolak adalah 227.

Pengumuman itu disambut sorakan gembira oleh Siew Ki dan penyokongnya yang setia menunggu di dalam dewan.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merangkap Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, kemenangan Siew Ki itu menepati ramalan beliau mampu mempertahankan kerusi kuat DAP yang dikuasai selama dua penggal oleh mendiang Eddie Ng Tien Chie sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 9:32 PM
GUAN Eng merai kemenangan Siew Ki (dua kanan) menewaskan Chee Teong pada PRK Balakong, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
GUAN Eng merai kemenangan Siew Ki (dua kanan) menewaskan Chee Teong pada PRK Balakong, hari ini. FOTO Aizuddin Saad