Esther Landau and Meor Riduwan Meor Ahmad


Calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong daripada MCA, Tan Chee Teong, tiba bagi menunaikan tanggungjawab mengundi di

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Batu 11, 7.30 pagi, hari ini.

Beliau antara pengundi berdaftar di kawasan itu hadir bersama-sama isteri, Connie Chin, 38, yang turut mengundi di pusat mengundi sama serta dua anak perempuannya, Tan Jin Suen, 11, dan Tan Jin En, 4.

Turut hadir ibu dan bapanya, Tan Kim Huat, 66, dan Lee Saw Wan, 62.

Ahli perniagaan itu bagaimanapun memberitahu beliau hanya akan mengundi pada 9 pagi.

Pusat pengundian di SJKC Batu 11 itu antara 16 pusat mengundi yang dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 62,188 pemilih berdaftar biasa menunaikan tanggungjawab mereka.

Cuaca yang baik dan cerah pagi ini memudahkan pengundi untuk keluar awal.

PRK yang kedua diadakan serentak dengan DUN Seri Setia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Chee Teong dan calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki daripada DAP.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan dua penjuru antara calon Tan dan Wong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Balakong mempunyai keseluruhan 62,219 pengundi berdaftar.

Lagi berita PRK Balakong dan Seri Setia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 8:28 AM
TAN Chee Teong (tiga kanan) hadir bersama ahli keluarga untuk mengundi bagi PRK Balakong di SJKC Batu 11 Cheras. FOTO Rosela Ismail
TAN Chee Teong (tiga kanan) hadir bersama ahli keluarga untuk mengundi bagi PRK Balakong di SJKC Batu 11 Cheras. FOTO Rosela Ismail