iKON teruja kembali jumpa peminat.
iKON teruja kembali jumpa peminat.
Georgie Joseph

Ketika awal kemunculan mereka dulu, kumpulan iKON dari Korea Selatan terus melakar kejayaan sekelip mata. Dicungkil bakat daripada beberapa program survival, nama mereka pantas menjadi sebutan.

Dianggotai B.I, Bobby, Jinhwan, Junhoe, Yunhyeong, Donghyuk dan Chanwoo, iKON juga memiliki kelebihan apabila dinaungi agensi gergasi YG Entertainment.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini nama mereka jadi perdebatan. Ramai menjangkakan laluan iKON mudah untuk menjadi besar sebagaimana senior mereka iaitu BIGBANG.

Ternyata jangkaan itu salah apabila sehingga kini kumpulan berkenaan masih merangkak untuk setanding dengan kumpulan fenomena termasuk BTS dan WANNA ONE.

Bagaimanapun, iKON nampaknya kian mara apabila tahun ini saja pelbagai acara berprofil tinggi menjemput mereka.

Terbaru, mereka turut memeriahkan acara penutup Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

‘Terima kasih’, itu ucap anggotanya B.I. dan Chanwoo yang ternyata begitu terharu dengan penghormatan diberikan itu.

Apa yang pasti, mereka juga sudah tidak sabar untuk menjayakan siri konsert jelajah dunia. Ia peluang buat mereka membuktikan rasa sayang terhadap peminat.

Menurut B.I., tiada terbit keluhan walaupun selepas ini mereka pastinya penat. Sebaliknya, itulah yang mereka nanti-nantikan selama ini.

“Kami bakal tampil dengan banyak pembaharuan dan pada masa sama menjayakan siri jelajah dunia. Saya rasa ini pasti menjadi tahun yang sangat sibuk buat iKON.

“Apabila melihat jadual, tiada satu hari pun kami akan dapat cuti sehingga Oktober nanti. Namun kami sangat-sangat bersyukur akhirnya dapat bertemu peminat,” katanya.

Dengan semangat yang membara itu, iKON berjanji akan tampilkan persembahan jauh lebih menyeronokkan nanti.

Bukan di satu atau dua tempat terpilih namun di semua lokasi dikunjungi nanti.

“Banyak lokasi kami akan kunjungi buat pertama kali nanti. Kami akan bagi persembahan yang paling menyeronokkan dan harap ramai-ramai boleh datang,” katanya.

KEMBALI ke Malaysia untuk jayakan 2018 Continue tour  pada 13 Oktober depan.
KEMBALI ke Malaysia untuk jayakan 2018 Continue tour pada 13 Oktober depan.

Semestinya mereka akan tunaikan janji memandangkan lama juga iKON tidak merasai beraksi di pentas untuk peminat sendiri.

Sempat mengimbas konsert pertama mereka bertahun-tahun lalu, menurut B.I. kenangan itu antara yang paling indah dan manis untuk dikenang.

“Konsert pertama kami dibuat di Seoul lebih dua tahun lalu. Cuaca ketika itu agak dingin dan tidak terasa seperti musim panas tapi kami sangat gembira.

“Saya masih ingat air mata menitis disebabkan ia konsert pertama kami. Kenangan itu pastinya akan terus tersemat selamanya dalam hati saya,” katanya.

Selepas bertandang ke Malaysia pada 2016, iKON bakal kembali ke sini lagi untuk menjayakan 2018 CONTINUE TOUR in Malaysia yang akan berlangsung pada 13 Oktober, jam 6 petang di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tiket berharga RM693 (Zon IKONIC / INNER CIRCLE), RM673 (Zon Merah), RM573 (Zon Kuning), RM483 (Zon Ungu), RM373 (Zon Hijau) dan RM273 (Zon Biru) sudah dijual menerusi www.ticketcharge.com.my.

Selain Kuala Lumpur, iKON juga turut singgah di Sydney, Melbourne, Taipei, Bangkok, Singapura, Manila, Jakarta dan Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 9:17 AM