GUERRERO dan Virginia bersama anak mereka. FOTO Facebook
GUERRERO dan Virginia bersama anak mereka. FOTO Facebook
Agensi

Texas (Amerika Syarikat): Sepasang suami isteri ditahan kerana meninggalkan anak perempuan mereka berusia 11 tahun berseorangan di rumah selama lima hari semata-mata mahu menghadiri konsert kumplan metal Inggeris di Detroit, lebih 2,900 kilometer dari situ.

Daily Mail melaporkan, John Guerrero, 48, dan Virginia Yearnd, 39, meninggalkan rumah mereka di Houston pada Rabu lalu dan memandu ke Detroit untuk menyaksikan persembahan konsert kumpulan metal Inggeris, Godflesh, dengan perancangan meninggalkan anak perempuan mereka selama lima hari.

Nenek saudara kanak-kanak itu membuat laporan polis sehari selepas itu. Ketika polis memeriksa rumah berkenaan, mereka melihat kanak-kanak terbabit cuba memasak, lapor Houston Chronicle.

Polis hanya berjaya menghubungi Virginia selepas sejam cuba menelefonnya.

Portal ABC13 melaporkan, ia bukan kali pertama kanak-kanak terbabit ditinggalkan berseorangan dan ibu bapanya tidak meninggalkannya nombor kecemasan untuk dihubungi sekiranya perlu.

Pasangan itu ditahan Isnin lalu sebaik tiba di rumah. Anak mereka kini dijaga seorang jiran.

Sementara itu, Virginia mendakwa meminta bantuan anggota keluarganya memerhatikan kanak-kanak itu tetapi orang terbabit tidak datang-datang.

Guerrero dan Virginia yang ditahan di Penjara Daerah Harris, tidak dibenarkan jaminan.

Mereka berdepan tuduhan membahayakan kanak-kanak. Kes masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:36 AM