RUMAH wanita yang mengurung anak perempuan berusia 7 tahun sejak lima hari lalu sebelum diselamatkan polis semalam. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
RUMAH wanita yang mengurung anak perempuan berusia 7 tahun sejak lima hari lalu sebelum diselamatkan polis semalam. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

IBU tunggal yang mengurung anak perempuannya di dalam rumah sejak lima hari lalu lebih suka menyendiri dan tidak bergaul dengan penduduk setempat.

Kehidupan seharian dua beranak itu lebih tertumpu di luar rumah dan wanita berusia 31 tahun itu hanya berada di rumahnya sesudah pulang bekerja.

Menurut penduduk setempat yang enggan dikenali, jiran terdekat juga tidak mengetahui latar belakang wanita itu dan apa pekerjaannya.

“Saya hanya mengetahui kanak-kanak itu dikurung selepas heboh satu kawasan memberitahu kanak-kanak itu menangis sepanjang masa di tingkap rumah pada hari pertama ditinggalkan.

“Jiran terdekat yang terdengar tangisan kanak-kanak itu sering mengunjunginya dan memberi makan setiap waktu kerana kasihankannya.

“Sehinggakan jiran terbabit dilihat sering menemaninya dari luar tingkap rumah supaya dia tidak rasa berseorangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia terkilan dengan tindakan ibu kanak-kanak terbabit kerana tergamak meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri sehingga lima hari.

“Seharusnya dia tidak boleh meninggalkan anaknya tanpa memaklumkan kepada masyarakat setempat atau jiran.

“Meskipun tindakan penduduk memaklumkan kepada pihak berkuasa boleh menimbulkan syak dan wasangka terhadap wanita itu, namun keselamatan kanak-kanak itu lebih penting,” katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dipercayai dikurung ibunya sejak Rabu lalu di sebuah rumah di Taman Hijrah, Kangar, malam tadi.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak terbabit di rumah berkenaan bagi membantu siasatan, pagi tadi.

Berita berkaitan

Sampai hati ibu...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 3:35 PM