YAP (dua kiri) bersama pasukannya PSG.LGD meraih podium dalam permainan video DOTA 2, semalam. FOTO Ihsan Facebook Wykrhm Reddy
YAP (dua kiri) bersama pasukannya PSG.LGD meraih podium dalam permainan video DOTA 2, semalam. FOTO Ihsan Facebook Wykrhm Reddy
Wartawan NSTP

SAAT tumpuan diberikan kepada kontinjen Malaysia yang bersaing di Sukan Asia di Palembang, Indonesia, seorang peminat permainan video negara mencipta sejarah dengan memperoleh podium di kejohanan The International 8 Dota 2, semalam.

Peminat sukan eSport negara mula meraikan kemenangan selepas pemain profesional Dota 2, Yap ‘xNova’ Jian Wei dan pasukannya PSG.LGD berada di tempat kedua sekali gus memperoleh hadiah lebih USD4.1 juta (RM16.8 juta).

Pada awal tahun lalu, Paris Saint-Germain menjadi kelab bola sepak Eropah yang pertama bekerjasama dengan organisasi Dota 2 LGD Gaming dan pasukan itu bertanding di bawah nama PSG.LGD.

Diiktiraf sebagai kejohanan eSport paling lumayan dalam sejarah sukan, The International adalah acara tahunan yang mempamerkan pasukan Dota 2 terbaik di seluruh dunia untuk berentap merebut gelaran serta memenangi hadiah wang.

Jumlah hadiah wang yang ditawarkan bagi Kejohanan Perdana Dota 2 lebih USD25.4 juta (RM103.9 juta) iaitu hampir menyamai hadiah wang pada 2017 sebanyak USD1 juta (RM4.1 juta).

Pasukan Jian Wei yang berpangkalan di China, kalah dalam kejohanan akhir kepada pasukan Eropah, OG yang pulang dengan hadiah wang berjumlah USD11.2 juta (RM45.8 juta).

Tahun lalu, Tue ‘Ah Fu’ Soon Chuan dan pasukannya iaitu LGD.Forever Young memenangi tempat ketiga pada kejohanan sama dan membawa pulang USD2.6 juta (RM11.2 juta).

Bagi 2016, pasukan Fnatic dari Malaysia pula memenangi wang tunai berjumlah USD1.4 juta (RM5.6 juta) dalam permainan kompetitif yang sangat popular selepas meraih tempat keempat.

Kali terakhir kesemua pasukan negara mempamerkan prestasi membanggakan adalah pada kejohanan 2013, apabila pasukan Orange Esports meraih tempat ketiga walaupun menerima hadiah wang tunai lebih rendah sebanyak RM1.15 juta.

Hanya seorang pemain eSport tempatan berjaya mengangkat trofi diidamkan setakat ini iaitu Wong Hock Chuan.

Beliau bermain untuk pasukan China iaitu Invictus Gaming, dimasukkan ke dalam ‘Hall of Fame Dota 2’ dengan kejohanan acara pada 2012.

Sukan eSports membuat kemunculan di acara sukan utama di Sukan Asia tahun ini sebagai sukan demonstrasi.

Ia bermaksud kemenangan pingat di dalam sukan ini tidak diambil kira sebagai jumlah pingat secara keseluruhan.

Ini adalah percubaan sebelum sukan eSport dimasukkan sebagai acara pameran di Sukan Olimpik 2024 di Perancis.

Tahun lalu, Majlis Olimpik Asia mengumumkan sukan eSport akan ditambah sebagai sukan berpingat pada Sukan Asia 2022.

Dota 2 adalah permainan video membabitkan beberapa pemain merangkumi dua pasukan dengan lima orang pemain.

Mereka akan bersaing secara kolektif bagi memusnahkan struktur besar yang dibela oleh pasukan lawan, yang dikenali sebagai ‘ancient’ (purba) dan dalam pada masa sama mempertahankan kubu masing-masing.

Pertandingan itu dimainkan di hadapan khalayak ramai di Rogers Arena, Vancouver. Ia disiarkan secara langsung da mempunyai berjuta penonton di seluruh dunia. Tahun depan The International 9 akan diadakan di Shanghai, China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 12:36 AM