Mohd Rozi Jidin
Mohd Rozi Jidin
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEORANG lelaki mengalami pendarahan di otak dipercayai akibat dipukul dengan kayu dalam pergaduhan di Lorong Teja 8, Taman Bandar Baru, Pokok Sena, malam semalam.

Mangsa, S Naresh, 31, dilaporkan masih kritikal kini ditempatkan di zon merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pergaduhan itu dikatakan berlaku kerana perselisihan faham antara mangsa yang juga pemandu syarikat pembersihan dengan rakannya selain faktor mabuk.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian bermula jam 11.30 malam ketika Naresh duduk sedang melepak sambil meminum arak bersama beberapa rakannya di tempat kejadian.

Katanya, kebetulan rakan mereka (pengadu) berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penyelia restoran pulang dari kerja dan melalui jalan itu.

"Tiba-tiba berlaku perselisihan faham apabila mangsa dan rakannya, A Sinnathamby, 32, memaki hamun dan mengaibkan nama bapa pengadu menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka sehingga membabitkan pihak lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, akibat kejadian itu Sinnatamby yang juga tukang sapu mengalami luka di belakang badan dan turut dirawat di HSB dan ditempatkan di zon kuning.

"Pengadu itu pula yang terjatuh daripada motosikal ditunggangnya mengalami kecederaan di lutut, bahu kanan serta bawah ketiak tangan kiri.

"Dia antara tiga individu ditahan selain dua lagi lelaki berusia 31 dan 49 tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 11:05 PM