NAQUE (kanan) dan Aloeng Silalahi (kiri) bersama Aeril (tengah), Angelina Tan (dua kanan) dan Mei. FOTO Nurul Zyazana Rose Razman
NAQUE (kanan) dan Aloeng Silalahi (kiri) bersama Aeril (tengah), Angelina Tan (dua kanan) dan Mei. FOTO Nurul Zyazana Rose Razman
Norhayati Nordin


LEBIH sedekad menceburi bidang lakonan, kini siapa yang tidak mengenali Aeril Zafrel, 30.

Memulakan langkah dalam kerjaya seni pada 2006, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari kini sudah jauh berubah.

Walaupun suatu ketika dulu bakat lakonannya diragui, pada masa kini Aeril sudah berjaya membuktikannya.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak ini turut didakwa meletak bayaran yang tinggi untuk mendapatkan kerjasamanya.

Bersua dengannya pada sidang media teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Aeril menafikan perkara itu.

“Saya tidaklah suka-suka hati meletakkan bayaran tinggi untuk tawaran berlakon yang diterima. Setakat ini, bayaran yang saya tetapkan berpatutan dengan komitmen kerja yang akan dilakukan.

“Saya tidak rasa bayaran diletakkan terlalu tinggi. Ia setimpal dengan komitmen kerja diberi,” katanya.

Ditanya juga mengenai dirinya yang menjadi sandaran akhir sebagai ‘hero’ untuk teater Tanah Akhirku, Aeril berkata dia pernah menolak pada mulanya.

“Sebenarnya, produksi teater Tanah Akhirku ini menawarkan saya untuk bekerjasama. Bagaimanapun, ketika itu saya menolak kerana jadual kerja terlalu padat dengan penggambaran drama.

“Apatah lagi, saya seorang yang tidak suka melakukan beberapa kerja pada satu masa kerana enggan hilang fokus. Jadi, saya menolaknya dengan baik. Bagaimanapun, apabila dapat tahu mereka masih tiada ‘hero’ untuk teater ini saya fikir wajar untuk membantu,” katanya.

Ditambah pula, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani amat yakin dengan bakat lakonannya.

“Selepas memikirkan beberapa perkara, saya setuju untuk terbabit dalam teater Tanah Akhirku ini. Saya langsung tidak fikirkan diri adalah calon akhir bagi teater ini selepas beberapa pelakon lain menolaknya. Harapan saya, semoga Tanah Akhirku mendapat sambutan baik daripada penonton apatah lagi ia dipentaskan sempena Hari Kebangsaan,” katanya.

Selain Aeril, antara pelakon lelaki dipilih untuk teater Tanah Akhirku ini ialah Remy Ishak, Syafiq Kyle dan Datuk Farid Kamil.

Sehubungan itu, pementasan teater Tanah Akhirku akan diterajui pengarah muda Naque Ariffin, 27, sebagai pengemudi utama.

Naque yang baru menamatkan Ijazah Sarjana Seni Urban dan Industri Budaya di Institut Kesenian Jakarta hujung Julai lalu juga lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Teater yang mendapat peruntukan khas daripada ASWARA itu turut membariskan pelakon seperti Mei Fen, Erma Fatima, Izzue Islam, Angeline Tan dan Nina Nadira.

Harga tiket untuk menonton teater ini ialah RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 yang boleh dibeli melalui laman airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 6:00 AM