Rosyam Nor. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Rosyam Nor. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin

Satu kepuasan bagi pelakon hebat Rosyam Nor apabila mendapat kepercayaan menggalas tugas sebagai pengacara program dakwah Da’i enam musim berturut-turut.

Dia yang kini banyak terbabit dengan kerja belakang tabir sebagai penerbit berkata amanah itu diterimanya dengan besar hati dan penuh rasa gembira.

“Diam tak diam, sudah enam musim saya mengendalikan program ini.

“Pada usia separuh abad ini, saya amat berbesar hati menggalas tanggungjawab diberi oleh pihak produksi.

“Bagaimanapun, untuk Da’i 6 saya digandingkan dengan pengacara baru iaitu Da’i Izzhar Nazri,” katanya.

Seperti musim terdahulu, Rosyam berharap program ini akan mendapat sambutan baik penonton TV3.

Menurut Rosyam, 10 peserta berentap dalam musim baru ini yang diwakili lapan lelaki dan dua wanita.

Mereka ialah Da’i Syahmi, Da’i Wafi, Da’i Syazwani, Da’i Haziq, Da’i Hafiz, Da’i Imran, Da’i Danial, Da’i Amirul, Da’i Adam dan Da’i Raisyah.

Da’i 6 juga menampilkan Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh sebagai Mursyid dan dua tenaga pengajar iaitu Ustaz Haryanto Rizal Rokman serta Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin sebagai Murabbi.

“Dua juri tetap dipilih untuk menilai peserta iaitu Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Profesor Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Rosyam Nor. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Rosyam Nor. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

“Disiarkan secara langsung setiap Jumaat jam 9 malam, Da’i 6 menawarkan hadiah lumayan RM60,000 untuk juara, RM15,000 (tempat kedua) dan RM10,000 (ketiga),” katanya.

Berkongsi cerita mengenai pasar raya borong ST Rosyam Mart yang beroperasi sejak 1 Jun lalu, Rosyam menzahirkan rasa syukur apabila usahanya itu mendapat sambutan memberangsangkan orang ramai.

Lebih menggembirakan apabila pasar raya itu tidak putus pelanggan malahan sesak setiap hujung minggu.

“Alhamdulillah, apa yang dirancang selama ini dipermudahkan dan berjalan lancar. Melihat sambutan pelanggan, saya rasa sangat gembira dan terharu.

“Banyak perkara yang perlu diuruskan dan diselia dengan teratur serta teliti. Biasalah, pasar raya baru beroperasi jadi saya kena fokus terutama berkaitan stok keluar masuk barangan dan latihan secukupnya kepada pekerja,” katanya yang berterima kasih dengan sokongan masyarakat terhadap perniagaan yang diusahakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 6:00 AM