DARI kiri, Mohamad Zainal, Wan Hashim  dan  Che Saad  menunjukkan logo kayuhan Road To Hajj 2019  di Jalan Stadium. FOTO Amran Hamid
DARI kiri, Mohamad Zainal, Wan Hashim dan Che Saad menunjukkan logo kayuhan Road To Hajj 2019 di Jalan Stadium. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Tiga sahabat warga emas berhasrat berkayuh sejauh 10,000 kilometer (km) menerusi Road to Hajj 2019 selaras dengan misi menunaikan haji ke Makkah yang bermula 6 Januari tahun depan.

Mereka ialah bekas jurufoto sambilan Bernama Kelantan, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, pemberita sambilan Bernama Kedah, Che Saad Noordin, 68, dan bekas wartawan sambilan NSTP Kedah, Mohamad Zainal Abidin, 63.

Wan Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Wan berkata, dia menggunakan pengalamannya mengayuh basikal termasuk pernah mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebanyak empat kali sebagai pengayuh basikal tertua mengelilingi Semenanjung sejak 2014 bagi merealisasikan hasrat itu bersama dua rakannya.

“Kami bertiga mempunyai kelebihan masing-masing dan sudah biasa mengayuh basikal walaupun pada usia emas, saya akan berkongsi pengalaman mengenai latihan serta cara mengekalkan stamina fizikal dan mental sepanjang berkayuh.

“Sebagai persediaan berkayuh di negara yang pelbagai musim, kami membuat latihan kayuhan setiap hari bermula waktu Subuh termasuk ketika cuaca panas dan hujan,” katanya.

Wan Hashim berkata, Che Saad membantu dari segi pengurusan mendapatkan dana serta berurusan dengan Tabung Haji (TH) manakala Mohamad atau dikenali sebagai Bashah menggunakan kemahirannya menguasai sembilan bahasa dalam perjalanan ke Makkah nanti.

Sementara itu, Che Saad berkata, sebagai permulaan mereka sudah membincangkan secara lisan untuk mewujudkan akaun bank bersama supaya kutipan dana orang ramai dan korporat dapat disalurkan ke dalam akaun berkenaan.

“Kami menjangkakan kos keseluruhan yang diperlukan adalah RM150,000.

“Selain membeli peralatan seperti basikal dan kelengkapan haji, kami juga mengutip dana bagi membantu enam individu kurang berkemampuan yang dikenal pasti untuk menunaikan haji tahun depan.

“Semua itu bakal terlaksana sekiranya TH dapat membantu menunaikan hasrat kami... selepas itu barulah kami akan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran dan UAE,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, dia sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan ketika kayuhan terbabit termasuk dijemput Ilahi.

“Sekiranya salah seorang daripada kami sakit dan tidak mampu meneruskan kayuhan, kami berjanji akan tetap meneruskan misi ini walaupun seorang diri.

“Kami berharap rakyat Malaysia mendoakan misi kami tercapai dan semua urusan berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:31 AM