USIA bukan penghalang buat Che Saad untuk merealisasikan impian ke Makkah dengan berbasikal. FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa
USIA bukan penghalang buat Che Saad untuk merealisasikan impian ke Makkah dengan berbasikal. FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Usia bukan penghalang buat datuk kepada 10 cucu ini untuk merealisasikan impian ke Makkah dengan berbasikal dan menggunakan laluan darat yang dirancang sejak enam tahun lalu.

Bekas wartawan, Che Saad Nordin, 74, kini dalam perjalanan ke tanah suci bagi menyahut seruan Ilahi dan lambaian Kaabah bagi menunaikan ibadah haji bersama Abdul Halim Talha, 56, Ahmad Mohd Isa, 35, dan Noradilah Mohd Shafie, 36.

Mesra disapa Pak Saad, bapa kepada lapan anak itu mengakui dirinya terlalu merindui Makkah biarpun sudah berpeluang tiga kali menunaikan haji sebelum ini, namun kerinduan membuatnya nekad 'kembali' ke tanah suci dengan berbasikal.

Che Saad berkata, setakat ini dia tiada sebarang penyakit dan turut mengakui menjaga pemakanan dan tidak mengambil minuman berais serta boleh mengayuh basikal tanpa henti sejauh 25 hingga 30 kilometer (km).

"Semua ini adalah nikmat daripada Allah dan kita gunakanlah umur yang diberi Allah untuk kebaikan. Bagi saya usia bukan penghalang kerana yang kita mahu adalah reda Allah.

"Apa yang penting adalah usaha dan dalam kayuhan ini kalau kita sudah tidak berdaya, berhentilah rehat sebelum teruskan kayuhan. Bagi saya kayuhan bersama rakan seperti ini lebih menaikkan semangat," katanya memberitahu mereka tidur di masjid dan inap desa sepanjang ekspedisi itu.

Katanya, misi kayuhan itu pengalaman pertamanya, namun rindu dan tekadnya melebihi segalanya bagi melakukan misi itu hingga ke akhir destinasi yang turut disifatkan untuk mencari keredaan Allah SWT.

"Perjalanan ini sangat indah kerana sebelum ini saya ke sana dengan pesawat dan sepanjang kayuhan juga kami bertemu dengan orang yang baik-baik, malah bantuan yang datang juga tidak diduga ketika berdepan ujian dengan izin-Nya.

"Alhamdulillah, perjalanan lancar dan kerosakan basikal itu perkara biasa, namun saya bersyukur rombongan kami lengkap untuk menyelesaikan dan melakukan semua perkara secara bersama," katanya berasal dari Baling, Kedah.

Che Saad berkata, dia juga seperti rakan lain yang berharap ekspedisi berjalan lancar dan mereka terus diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 4:20 PM