AHMAD bersama Che Saad (kanan). FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa
AHMAD bersama Che Saad (kanan). FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Selepas lapan tahun, suami isteri ini sekali lagi mengambil cabaran melakukan kembara ekspedisi ke tanah suci, Makkah dengan berbasikal namun kayuhan kedua ini menyahut seruan haji yang akan dilaksanakan tahun depan.

Ahmad Mohd Isa, 35, dan Noradilah Mohd Shafie, 36, sebelum ini melaksanakan misi pertama menunaikan umrah pada 2016 dengan berbasikal melalui jalan darat, namun kayuhan kedua ketika ini dilaksanakan bersama dua sahabat mereka.

Dua lagi 'ahli kumpulan' misi kembara itu ialah bekas wartawan Che Saad Nordin, 74, dan Abdul Halim Talha, 56, yang mana mereka memulakan misi kayuhan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong pada 23 November lalu.

Ahmad berkata, kayuhan sejauh 12,000 kilometer (km) yang diketuai Che Saad itu akan mengambil masa tujuh bulan dan merentasi tujuh negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Katanya, kayuhan kedua kali ini juga sedikit berbeza buatnya kerana berkayuh bersama dua rakan lebih berusia dan mereka juga perlu menaiki pesawat dari Bangkok, Thailand untuk ke India kerana situasi di Myanmar ketika ini tidak stabil.

"Hari ini kami berada di Surat Thani, Thailand dan esok ini akan berkayuh ke Phum Riang. Apabila sampai di Bangkok kami menggunakan jalan udara ke New Delhi, India dan akan menyambung kayuhan hingga ke Pakistan dan Iran.

"Di Iran kami akan menggunakan perkhidmatan laut untuk ke UAE kerana laluan darat akan melalui Iraq, namun situasi di negara terbabit juga tidak stabil sebelum kembali berkayuh ke Arab Saudi," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Katanya, perjalanan kali ini juga lebih singkat berbanding lapan tahun lalu yang mengambil masa setahun tiga bulan kerana ketika itu mereka dalam misi melaksanakan ibadah umrah, namun kali ini mereka akan melakukan haji.

"Sebenarnya misi ini adalah cetusan idea Che Saad dan Abdul Halim yang dirancang sejak 2017, mereka datang berjumpa kami pada 2019 bagi mendapatkan nasihat menggunakan jalan darat dengan berbasikal untuk memulakan misi itu tiga tahun lalu tetapi pandemik Covid-19 membuatnya tertangguh.

"Apabila keadaan pulih mereka memulakan perancangan tahun ini dengan sasaran untuk menunaikan haji tahun depan serta turut mengajak kami. Misi kali ini adalah haji pertama saya dan kedua untuk isteri yang menunaikan haji pada tahun ini.

"Saya juga memang mahu menunaikan haji jadi saya fikir ini 'jalan pintas' untuk ke sana kerana giliran panggilan haji saya masih lama lagi dan kebetulan kami ada pengalaman ke sana dengan basikal juga, itu yang sertai mereka," katanya.

Menurut Ahmad, mereka dijangka tiba di Arab Saudi pada 15 Mei tahun hadapan dan mengakui 'rombongan' kali ini lebih mudah kerana mempunyai dua lagi rakan yang mempunyai kelebihan masing-masing dalam menjayakan misi berkenaan.

"Setiap hari kami akan berkayuh sejauh 50 hingga 80 km dan walaupun misi ini ada wanita dan warga emas tetapi mereka kental dan kuat semangat. Kami akan mula berkayuh jam 8 pagi sehingga sebelum Maghrib dan malam adalah waktu rehat.

"Kayuhan kali ini hanya Thailand dan UAE saja akan melalui jalan sama seperti dulu. Sepanjang kayuhan (di Thailand) mengimbau kembali kenangan lama, malah dapat berjumpa semula dengan rakan di negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, Noradilah berkata, kayuhan kedua ini adalah seruan Allah SWT untuknya sebagai tetamu Allah dengan berbasikal dan menyifatkan misi itu juga mempunyai cabaran tersendiri berbanding kayuhan sebelum ini.

Katanya, mereka akan memohon visa ziarah untuk masuk ke Arab Saudi dan kemudian akan memohon visa haji sebaik kerajaan negara berkenaan membuka permohonannya.

"Ketika di Sadao, Thailand kami ada bertemu seorang lelaki dari Indonesia, Sugiarto Gogik, 61, yang turut melakukan misi sama berkayuh ke Makkah untuk menunaikan haji dan sehingga kini kami semua melakukan kayuhan bersama.

"Sebagai wanita kita juga boleh melakukan misi seperti ini asalkan ada usaha. Mudah-mudahan kami diberikan kesihatan, menamatkan kayuhan dan dapat menunaikan ibadah haji," katanya memberitahu kayuhan itu dibiayai sendiri dan ada juga menerima sumbangan orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 2:53 PM