LELAKI warga Bangladesh ditahan ketika memecah masuk ke sebuah rumah dalam keadaan separuh bogel di Jalan Sungai Kampung Puah. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI warga Bangladesh ditahan ketika memecah masuk ke sebuah rumah dalam keadaan separuh bogel di Jalan Sungai Kampung Puah. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TINDAKAN lelaki warga Bangladesh yang memecah masuk rumah dengan hanya berseluar dalam di Jalan Sungai Kampung Puah, Lembah Gombak, mengundang padah apabila dia ditahan orang awam, semalam.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, suspek dikatakan memecah masuk ke dalam rumah terbabit melalui tingkat dapur kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan membuka baju dan seluarnya sebelum masuk ke rumah berkenaan kerana bimbang pakaiannya tersangkut di tingkap dapur rumah mangsa.

Menurutnya, suspek berjaya mengambil beg tangan dan dompet yang mengandungi kad pengenalan milik isteri dan anak-anak mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

"Suspek yang hanya memakai seluar dalam terus berjalan kaki keluar dari rumah mangsa sebelum kegiatannya disedari jiran mangsa yang kebetulan sedang berada di luar rumahnya berborak bersama beberapa orang rakan.

"Suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan terus ditahan sebelum kumpulan lelaki berkenaan bertindak membogelkannya lalu memaklumkan kejadian kepada mangsa," katanya ketika dihubungi disini, hari ini.

Mohamad Roy berkata, susulan daripada itu, mangsa melakukan pemeriksaan di dalam rumahnya dan mendapati besi tingkap dapur dipatahkan dan beberapa keping cermin tingkap tersebut telah ditanggalkan.

"Ekoran itu, mangsa terus menghubungi pihak polis sebelum menyerahkan suspek untuk tindakan seterusnya.

"Semakan lanjut ke atas suspek, ini adalah kali pertama suspek melakukan kegiatan pecah rumah dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 2:44 PM