Agus Salim (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas dari dua lelaki dalam sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Agus Salim (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas dari dua lelaki dalam sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


DUA rakan ditahan pada 16 Julai lalu selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri di daerah Sabak Bernam.

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 38 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di hadapan sebuah kedai emas di Sungai Besar pada jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kedua-dua suspek dipercayai melakukan jenayah itu susulan aduan daripada seorang mangsa mendakwa melihat kelibat suspek di belakang rumah lamanya dalam keadaan mencurigakan di sebuah kuarters di daerah ini pada jam 12 tengah hari, 16 Julai lalu.

"Mangsa kemudian memeriksa rumahnya dan mendapati pintu jeriji belakang dipecahkan serta keadaan rumah yang berselerak.

"Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM300," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, hari ini.

Agus Salim berkata, suspek sebelum itu dipercayai memecah masuk sebuah rumah di daerah ini pada jam 5 petang, 9 April lalu.

"Seorang lelaki membuat laporan polis memaklumkan rumah adiknya dimasuki pencuri dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,500.

"Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan mengumpil tingkap bilik bahagian belakang," katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan suspek, polis berjaya merampas barangan seperti cakera padat digital, pembesar suara, serbuk pencuci pakaian dan produk kesihatan.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah.

"Suspek pertama memiliki tiga rekod jenayah lampau narkotik manakala rakannya pernah ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Semua suspek direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:16 PM