KEADAAN dapur rumah mangsa yang berselerak dalam kejadian pecah masuk di Kampung Belawai, Mukah. FOTO Khalid Latip
KEADAAN dapur rumah mangsa yang berselerak dalam kejadian pecah masuk di Kampung Belawai, Mukah. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


PENGHULU kampung yang baru pulang menghadiri program hari keluarga terkejut mendapati rumahnya dipecah masuk di Kampung Asam Jawa, Belawai, Mukah semalam.

Sumber memberitahu NSTP, mangsa yang berusia 70 tahun itu hanya menyedari kejadian berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya.

Menurutnya, mangsa bergegas pulang dan mendapati beberapa barangan di bahagian dapur rumahnya rosak.

“Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu melalui satu daripada tingkap sebelum bertindak memecah barangan di dapur.

“Malah, suspek turut mencampakkan dua mesin basuh milik mangsa ke dalam sungai yang berhampiran tanpa diketahui tujuannya berbuat begitu,” katanya ketika dihubungi, di Mukah, hari ini.

Bimbang dengan keselamatannya, mangsa membuat laporan Polis di Balai Polis Belawai kira-kira 1 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Alfian Awang Bujang berkata, gerakan mencari suspek lelaki berusia 45 tahun itu dilancarkan sejurus laporan diterima.

Katanya, suspek berjaya diberkas di rumahnya kira-kira 10 malam.

“Lelaki yang dipercayai kurang siuman itu kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 2:42 PM