GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Beaufort: Pesara guru wanita diikat sebelum seorang lelaki memakai topi keledar merompak rumah mangsa di Kampung Datung Melabau di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 2.40 pagi itu, penjenayah terbabit melarikan gelang emas, wang tunai kira-kira RM2,300 dan beg tangan mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa berusia 58 tahun baru selesai menunaikan solat sebelum ternampak kelibat individu melintas melalui tingkap rumahnya.

Menurutnya, ketika mangsa memeriksa pintu dapur, dia terkejut melihat seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi keledar dengan menutup mukanya menggunakan 'visor' sedang berdiri di hadapan pintu dapur rumahnya.

"Lalu mangsa terus menutup pintu dapur tetapi suspek menolak pintu berkenaan sehingga mangsa terjatuh.

"Suspek kemudiannya mengikat tangan mangsa dibahagikan belakang menggunakan pita pelekat dan membawa mangsa ke dalam bilik tidur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya mengugut bunuh mangsa sekiranya meminta pertolongan.

"Suspek mengambil gelang emas yang dipakai di tangan mangsa, dua beg tangan yang diletakkan di atas meja makan mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

"Suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM2,300 dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM12,700," katanya.

Ismail berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa adalah seorang pesara guru.

"Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/506 Kanun Keseksaan.

"Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 4:14 PM