ROMBONGAN mualaf dibawa menziarahi rumah penduduk di Kampung Sungai Daun Tengah, Yan pada 1 Syawal lalu.
ROMBONGAN mualaf dibawa menziarahi rumah penduduk di Kampung Sungai Daun Tengah, Yan pada 1 Syawal lalu.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: “Kami seperti kanak-kanak yang baru berhari raya. Ibu angkat membawa kami ke sekitar kampung untuk berkunjung dari rumah ke rumah.

“Inilah kali pertama saya rasa seronok di hari raya sejak memeluk Islam pada 2015. Memang tidak dapat digambarkan betapa hari raya ini sungguh bermakna. Kami ada keluarga dan penduduk kampung yang melayani kami sama seperti orang lain. Syukur, Alhamdulillah,” kata Ahmad John Mikael, 29.

Dia bersama 30 mualaf dari seluruh negara dibawa Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) ke Kampung Sungai Daun Tengah, Yan, Kedah pada 1 Syawal lalu untuk berhari raya bersama keluarga angkat dan penduduk kampung.

Katanya, sebelum ini dia menganggap hari raya sebagai memenuhi undangan rumah terbuka namun dia tidak menyangka sambutan di kampung begitu berbeza.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan dia teruja melihat suasana meriah serta permuafakatan antara penduduk kampung yang mesra dan menganggap mereka seperti saudara sendiri.

“Walaupun kami sampai sehari sebelum raya, tetapi perasaan seperti pulang ke kampung halaman sendiri begitu dirasai. Penduduk menerima kami seadanya menyebabkan kami tidak kekok.

“Paling seronok kami dapat berkunjung dari rumah ke rumah lain tanpa perlu meminta kebenaran. Baru saya tahu nikmat hari raya dan kenapa orang berebut-rebut pulang ke kampung. Memang seronok,” katanya.

Seorang lagi saudara baru, Ang Bee Shan, 39, berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan ibu angkat yang begitu mesra dan penyayang serta sanggup mengambil mereka seramai 30 orang sebagai anak angkat.

Katanya, ia menjadi pengalaman manis seumur hidupnya dan berharap dapat terus berhubung dengan keluarga angkat serta penduduk kampung berkenaan.

“Ini barulah hari raya. Seronok sangat, memang lain daripada apa yang saya lalui sejak memeluk Islam pada 2003. Alhamdulillah, syukur,” katanya.

Pengerusi YMM Shila Lama Abdullah berkata, program Mualaf Raya Kampung Wey itu akan dijadikan acara tahunan memandangkan kesan positif yang diterima pihaknya.

Katanya, ramai saudara baru terkesan dengan program itu kerana mereka mendapat kasih sayang daripada saudara seagama serta tidak didiskriminasi hanya kerana baru memeluk Islam.

Sementara itu, ibu angkat mualaf terbabit, Datuk Norma Awang berkata, dia terharu dengan silaturahim yang terjalin dengan anak angkatnya dan akan menjaga hubungan bersama mereka selepas ini.

Katanya, program itu turut memberi kesan kepada penduduk kampung yang dapat berkongsi perasaan saudara baru kerana ada antara mereka pernah dibuang keluarga sebelum ini.

“Insya-Allah, saya akan terus berhubung dengan mereka dan bekerjasama dengan YMM untuk program akan datang. Saya seronok dengan anak-anak angkat ini dan berharap mereka juga begitu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 9:59 AM