CERIA anak-anak penduduk menyertai aktiviti origami.
CERIA anak-anak penduduk menyertai aktiviti origami.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Melihat penduduk Kampung Pisang Jalong Sungai Siput U Perak begitu mesra dengan 43 sukarelawan Program Jalinan Mahabbah 2.0, ia memberi gambaran seolah-olah mereka ini sudah kenal lama. Walhal Pengarah Program Abdul Haadi Baharin, menjelaskan kunjungan itu baru kali kedua kumpulan sukarelawan terdiri daripada penuntut Kolej Poly-Tech Kuala Lumpur mengadakan program bersama orang kampung.

Menariknya reaksi orang kampung begitu santai dan ‘sporting’ menyertai setiap acara menunjukkan betapa masyarakat kampung itu mengalu-alukan kehadiran pelajar berkenaan.

Menurut Hadi, Program Jalinan Mahabbah 2.0 asalnya bertujuan memenuhi subjek kepimpinan (MPU 2332) memerlukan mereka menganjurkan program berimpak tinggi bersama komuniti.

Justeru pihaknya memilih untuk menjalankan program sosial bersama masyarakat Kampung Pisang yang terdiri daripada suku Orang Asli Temiar.

Katanya, ‘highlight’ program siri kedua ialah pembinaan perpustakaan bakal menempatkan buku serta komputer bagi kegunaan penduduk.

“Kampung ini agak ceruk berbanding kampung lain di kawasan Jalong ini. Justeru kami berasa selain mengadakan aktiviti bersama penduduk kami turut melancarkan projek pembinaan perpustakaan mini.

“Sekali gus mengambil sebagai ‘kampung angkat’ kerana sedia menjalin hubungan dalam program sosial sejak setahun lalu. Mereka tidak menerima hampir 10 tahun kunjungan tetamu luar.

“Tidak sangka kehadiran kami membuka hati mereka untuk menerima kami selaku tetamu sekali gus memberi kami peluang berbakti kepada penduduk. Kami berharap dengan pembinaan perpustakaan ini dapat terus menyuburkan hubungan persaudaraan antara kami.

Saya berharap ramai pihak terus menyumbang selain penaja yang sedia ada. Hasrat kami lebih ramai pihak korporat akan tampil menaja termasuklah membantu dalam mewujudkan kemudahan jalur lebar bagi kepentingan generasi muda masyarakat di sini,” katanya.

Buat seorang sukarelawan Muhammad Izzul Fahmi Ramlan, dia berkata peluang menghubungkan semula semangat muhibah antara orang kampung dengan masyarakat luar satu perasaan sukar diungkap­kan.

Dia terharu dengan orang kampung sanggup menerima kehadiran dia serta rakannya. Malah, kesediaan mereka turun padang menyertai aktiviti mereka jelas apabila setiap slot menerima kehadiran seluruh isi kampung.

“Suasana ketika kali pertama kumpulan kami datang membuat kerja sukarelawan, kehadiran kami disambut dingin kerana mungkin mereka tidak mengenali kami. Sesiapa pun akan bereaksi sedemikian terhadap orang asing.

“Selaku sukarelawan, kami ambil inisiatif mendekati mereka dengan menerangkan tujuan kedatangan kami ke kampung mereka. Alhamdulillah mereka menerima serta terbuka menerima kehadiran kami. Sejak itu mereka begitu akrab dengan kami. Mereka tetap mengingati kami meskipun kali terakhir kami menganjurkan program sama pertengahan tahun lalu.

“Malah, cukup mengharukan ketika kami pulang, mereka sang­gup mengiringi kami beramai-ramai menunjukkan betapa kami diraikan selaku tetamu dan juga saudara mereka.

“Kedatangan kali kedua ini juga mereka cukup teruja. Malah, ada kalangan ibu bapa angkat segelintir sukarelawan dulu sanggup mempersiapkan rumah dan menunggu kedatangan anak angkat,” katanya berharap hubungan akrab itu terus terjalin.

Manakala buat sukarelawan wanita, Afiqah Haris Md Monir, 22, pengalaman menjalankan aktiviti terutama kem solat antara saat paling diingati dalam program berkenaan.

“Secara keseluruhan, menjadi sukarelawan dalam program ini memberi pendedahan kepada saya cara berinteraksi selain sikap menghormati masyarakat lain.

“Selain itu kesan kepada saya pula sebagai individu, saya lebih yakin dalam menganjurkan program serta menyesuaikan diri dalam komuniti mempunyai perbezaan sedikit segi cara hidup serta budaya.

“Paling diingati ialah ketika kem solat. Ada segelintir penduduk kampung sanggup datang mempelajari cara solat betul kerana baru memeluk Islam. Mereka rasa modul kami dapat membantu pemahaman mereka terhadap ibadat fardu berkenaan. Ia benar-benar memberi kesan betapa pentingnya peranan kami dalam penganjuran program sebegini bersama penduduk kampung,”katanya.

Penyelia program berkenaan, Muhd Bazli Hashim berkata, pihaknya berharap lebih ramai pihak terus menaja dalam mini projek ia­itu pembinaan perpustakaan untuk anak-anak kampung berkenaan.

“Bukan saja menganjurkan program, kami terus melancarkan beberapa projek termasuklah pembinaan perpustakaan mini bakal memberi manfaat buat anak kampung ini. Selain itu kami berharap beberapa sumbangan termasuklah komputer bersama kemudahan mesin pencetak memudahkan pihak kampung membuat urusan seharian.

Sebelum ini mereka terpaksa menumpang kampung berhampiran menggunakan kemudahan terbabit serta dikenakan caj mahal. Jika semua kemudahan ini disediakan, satu kebaikan cukup besar dan meringankan bebanan terutama ketua kampung dalam menyiapkan urusan formal,”katanya.

Bagi Tok Batin Kampung Pisang, Nasiri Ngah, dia gembira dengan kedatangan pihak kolej sanggup menabur bakti dengan menganjurkan pelbagai program di kampung mereka.

“Saya gembira dengan aktiviti dianjurkan kolej. Mereka bukan saja mengadakan program untuk kanak-kanak, aktiviti origami dan sukaneka, mereka turut menggalakkan penyertaan orang kampung seperti kem solat serta demonstrasi memasak.

“Ini bukan saja mengete­ngahkan skil baru, malah ia mengeratkan hubungan dengan orang kampung. Selaku wakil kampung saya menghargai dan berterima kasih dengan inisiatif mereka sekali gus menghormati sensitiviti orang kampung ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 2:43 PM