AISHAH (kanan) bersama anak perempuannya menunjukkan Sijil Akuan Masuk Islam. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AISHAH (kanan) bersama anak perempuannya menunjukkan Sijil Akuan Masuk Islam. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


“HATI saya mula terdetik mahu mengenali Islam apabila melihat anak yang baru berusia empat tahun menunjukkan minat belajar memakai tudung melalui televisyen dan gemar membaca al-Fatihah dalam nada berlagu,” kata Aishah Tan, 40.

Aishah yang sebelum ini bernama Irene Tan dilahirkan dalam keluarga India, tetapi dibesarkan keluarga angkat keturunan Cina sejak kecil.

Dia kini sudah memasuki tahun ketiga memeluk Islam.

“Saya menempuh kehidupan penuh liku dan mencabar sebelum ini. Dugaan bertambah berat apabila saya dihalau dan tidak diterima oleh keluarga angkat selepas mengetahui saya memeluk Islam.

“Memang sedih, tetapi saya tidak pernah menyalahkan keluarga angkat kerana memahami mereka terutama ibu yang sangat kuat dengan pegangan agama Katolik.

“Saya yakin dengan jalan yang saya pilih ketika ini. Alhamdulillah sekarang saya berasa lebih tenang dan lebih baik,” katanya.

Dia ditemui pada program pemberian sumbangan kepada 60 saudara baru dan 20 bukan Islam sempena Ramadan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Kampung Paloh bersama Pertubuhan Mualaf India SeMalaysia (Mira) di Masjid Paloh, Jalan Datoh, semalam.

Aishah yang pernah bekerja di ibu negara selama enam tahun ketika berusia 18 tahun memeluk agama Islam pada usia 37 tahun di Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Georgetown, Pulau Pinang.

Katanya, sebaik keluarga angkatnya di Taiping mengetahui dia memeluk Islam dua tahun lalu, dia dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun dihalau dari rumah.

Dua beranak itu terpaksa hidup merempat dalam keadaan sehelai sepinggang.

“Saya kemudian mengenali hamba Allah yang sudi membantu di Global Life Centre (GLC) di Simpang Pulai. Mereka ibarat keluarga dan saya diberi kekuatan untuk meneruskan hidup dan mendalami ajaran Islam.

“Anaklah sumber kekuatan saya dan sejak memeluk Islam, Alhamdulillah, saya tidak pernah berasa susah hati.

“Syukur rezeki dan bantuan Allah itu sentiasa ada untuk kami berdua,” katanya yang membuat kerja sambilan dan sudah menetap di rumah sewa di Taman Rapat Permai.

Dia akui tahun pertama menjadi saudara baru, dia tidak larat berpuasa, tetapi tahun ini berazam untuk berpuasa penuh dan kini sudah mula solat Maghrib berjemaah di masjid.

Sementara itu, Pengerusi Mira Perak, Muhd Haniwaran G Retnasamy berkata, program yang sudah memasuki tahun ketiga itu bertujuan menunjukkan ciri ajaran Islam sebenar berdasarkan akhlak Rasulullah yang membantu sesama manusia tanpa mengira agama.

“Melalui program ini, kami mahu menonjolkan imej Islam yang baik, biar mereka (orang bukan Islam) merasakan walaupun hidup susah, tetap ada orang Islam yang prihatin dan sanggup membantu,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Perkim Perak, Datuk Dr Abu Bakar Shaari dan Pengerusi Perkim Cawangan Kampung Paloh, Mohd Tahiruddin Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:31 AM