Yusmizal Dolah Aling


BIARPUN berstatus saudara baru namun 26 Pendakwah Mualaf (PM) menjadi antara individu bertuah apabila dipilih menunaikan umrah sebagai satu latihan untuk mereka menghayati Islam dan menjadi pendakwah di tanah air dengan lebih baik.

Terdiri daripada wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, mereka dipilih berdasarkan kemampuan, kebolehan dan inisiatif untuk mendalami agama serta berdakwah di seluruh negara sebelum ini .

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, program Road To Mecca yang dianjurkan Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) itu adalah medan terbaik untuk pendakwah melengkapkan diri mereka dengan penghayatan sebenar mengenai perjalanan dakwah Rasulullah SAW.

Katanya, ia adalah inisiatif terbaik, bukan saja memberi peluang kepada mereka untuk ke Makkah, tetapi menyaksikan sendiri tempat-tempat yang signifikan dengan sejarah Islam.

“Ia adalah program yang sangat baik kepada PM untuk merasai, melihat sendiri bagaimana lokasi yang sebelum ini mungkin kita tahu daripada pembacaan, kuliah pengajian dan sebagainya.

“Ini akan melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang lebih supaya ilmu itu nanti disebarkan pula kepada masyarakat Islam khususnya mualaf termasuk bukan Islam,” katanya selepas merasmikan Program Pembangunan Kendiri Pendakwah Mualaf - Road To Mecca di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi YMM Shila Lama Abdullah dan Penasihat YMM Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

Polis memeriksa PATI yang ditahan sekitar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Polis memeriksa PATI yang ditahan sekitar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Sementara itu, Shila berkata, perancangan program Road To Mecca itu bermula sejak 2016 lagi untuk memberi ruang kepada mualaf bagi menunaikan umrah.

Katanya, berbanding orang lain, golongan mualaf memerlukan lebih kekuatan spiritual untuk mendalami agama dan antara lokasi yang ingin dikunjungi adalah Makkah.

“Jadi kita akan pilih pendakwah mualaf untuk bersama-sama kita. Mereka melalui tiga fasa iaitu bengkel bina kekuatan, ke tanah suci dan tempat yang signifikan dengan perjuangan Islam serta latihan lapangan untuk bertemu seramai mungkin bagi berdakwah,” katanya.

Seorang mualaf, Mohd Azmi Azman berkata, dia memeluk Islam sejak 12 tahun lalu dan memasang impian untuk ke tanah suci serta beribadat di sana.

Katanya, dia tidak menyangka akan terpilih kerana sedar bahawa ramai lagi yang lebih layak serta banyak menyumbang untuk mualaf di tanah air.

“Syukurlah kerana terpilih dan Allah makbulkan doa saya. Insya-Allah selepas balik nanti saya akan sebarkan ilmu yang saya dapat kepada saudara baru yang lain,” katanya.

Antara wakil NGO yang terpilih termasuklah dari One Centre Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Sukarelawan Darul Islamiah (SUDI) dan Badan Kebajikan Saudara Kita (BKSK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 4:28 PM