CHE Ta peruntuk 20 pasang baju raya untuk setiap ahli keluarga.
CHE Ta peruntuk 20 pasang baju raya untuk setiap ahli keluarga.
HM Digital

Kelantangan pelakon jelita Rozita Che Wan menyuarakan pendapat dan membalas komen netizen di Instagram hangat diperkatakan umum.

Apa tidaknya, ada segelintir yang mudah terhibur dengan setiap komen ditinggalkan hingga ia menjadi bahan lawak netizen.

Che Ta ketika ditemui berkata, kenyataan yang diberikan itu dilakukan secara spontan berdasarkan komen yang diberikan netizen.

“Kelakarkah komen yang saya berikan kepada netizen? Kadang-kadang saya sendiri tidak sedar komen itu menjadi perhatian.

“Saya hanya luahkan apa yang dirasakan ketika itu. Mungkin juga sebab personaliti saya buatkan ada yang terhibur dengan ayat yang ditulis,” katanya.

Menurut Che Ta, dia juga sudah kalis dengan cacian orang luar yang kadang-kadang melampau ketika meninggalkan komen keterlaluan hingga dia terpaksa membalas dengan ayat yang kurang sopan sebagai pengajaran.

“Saya sudah tidak ambil pusing dengan kecaman. Ada perkara yang mereka komen saya boleh terima. Kadang-kadang ada betulnya juga. Cuma ada yang macam tak tahu kebenaran, itu yang buatkan saya akan jawab.

“Kadang-kadang mereka ini sengaja mahu mencari pasal, namun sekiranya komen itu dirasakan melampau saya akan membalas untuk memberi kesedaran kepada mereka,”katanya.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Che Ta berkata, dia sudah menyiapkan 20 persalinan setiap seorang bagi memastikan mereka sekeluarga tampil bergaya.

Menurut Che Ta, dia mula rasa tidak sabar untuk menyambut Syawal setiap kali melihat semua pakaian yang sudah siap digosok dan digantung di bilik pakaiannya.

“Tahun ini jumlah baju raya saya peruntukkan ialah 20 pasang seorang, namun tak seperti tahun lalu ada 30 pasang setiap orang.

“Baju semua dah siap malah baju Melayu anak dan suami saya dah siap pasangkan butang supaya senang,” katanya.

Menurut Che Ta, tahun ini dia akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

Che Ta berkata, dia bersama keluarganya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya keempat dan menjemput sesiapa saja yang ingin bertandang ke rumahnya.

“Boleh dikatakan setiap tahun kami buat rumah terbuka dan akan menempah katering. Bukan apa, jumlah yang datang ramai jadi tidak sempat untuk sediakan juadah,”katanya.-Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 6:05 AM