GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar


FIRMA guaman, Tan Hock Chuan & Co menarik diri daripada mewakili Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kes saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap mereka berhubung permohonan perintah Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta kepada kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Tan berkata, ia berikutan pihaknya tidak mendapat sebarang arahan berhubung kes itu daripada 1MDB.

Menurutnya, mahkamah juga membenarkan permohonan mereka.

Sementara itu, peguam Damien Chan yang mewakili Khairuddin berkata, mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan membatalkan saman itu oleh Rosmah, Low Taek Jho dan 1MDB.

"Bagaimanapun mahkamah menangguhkan ketiga-tiga permohonan itu dan menetapkan 21 Jun ini untuk pengurusan kes.

"Memandangkan Laporan Audit Negara kini boleh diakses oleh orang ramai, kami akan mendapatkan arahan baru untuk tindakan seterusnya sama ada perlu membuat pindaan terhadap tuntutan saman ini," katanya

Rosmah diwakili peguam Yazid Mustakim manakala Low Taek Jho atau Jho Low diwakili peguam Rishwant Singh.

Pada 16 Ogos 2017, Khairuddin memfailkan saman itu dengan menamakan Rosmah, Jho Low dan syarikat 1MDB sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairuddin mendakwa antara Jun 2013 dan Mac 2014, Jho Low melalui agennya membeli barang kemas daripada sebuah syarikat dikenali sebagai Loraine dari New York yang mana beliau mendakwa jumlah itu adalah sebahagian daripada wang yang dicuri Jho Low daripada 1MDB.

Khairuddin mendakwa barangan kemas itu iaitu batu berlian berwarna merah jambu bernilai dan rantai leher kemudiannya diterima sebagai hadiah oleh Rosmah pada Mac 2014.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya Rosmah mengembalikan semula barangan kemas berkenaan kepada 1MDB serta satu perintah supaya Jho Low membayar jumlah wang yang telah digelapkan dan disalahguna kepada 1MDB.

Beliau turut menuntut Rosmah dan Jho Low membayar pampasan atas dakwaan menyalahguna barang kemas itu, selain menuntut kos dan relif lain yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:14 PM