NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan menegaskan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan bernilai kira-kira RM80 juta yang disita adalah hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Harta terbabit disita di sebuah premis di Pavilion Residence, milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berkata, fakta itu diperkukuhkan lagi dengan urus niaga langsung antara Datuk Seri Najib Razak; ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan rapatnya, Eric Tan, melalui syarikat Good Star serta Blackstone Asia Real Estate Partners.

Katanya, sumber utama dalam akaun AmBank bekas Perdana Menteri itu, diperoleh daripada wang yang dipindahkan dari syarikat terbabit yang dikawal Jho Low serta Eric.

"Rangkaian hubungan antara Najib, Jho Low dan Eric melalui pelbagai syarikat proksi digunakan untuk mengalihkan wang daripada 1MDB.

"Bukti dikemukakan menyokong kesimpulan dan objektif mengenai keseimbangan kebarangkalian bahawa barangan disita, adalah perkara atau berkaitan dengan pelakuan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

"Ia adalah kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen di bawah Seksyen 409 Akta 574 dan kesalahan menerima harta curi secara tidak jujur di bawah Seksyen 411 Akta 574," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah pada pendengaran permohonan kerajaan melucut harta terbabit di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini.

Jam tangan itu dituntut oleh Najib, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menuntut barang kemas dan beg tangan berkenaan.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Peguam bela Najib, Tania Scivetti, pula berkata, tujuh jam tangan mewah jenama Richard Mille itu dihadiahkan kepada bekas Perdana Menteri terbabit.

Beliau berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan jam tangan berkenaan dibeli oleh Najib menggunakan dana 1MDB.

"Pemohon (Timbalan Pendakwa Raya) sepatutnya memulangkan kembali jam tangan itu dan tidak meneruskan pelucuthakan harta mengikut Seksyen 56 akta berkaitan (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001).

"Dalam situasi ini, kami berdoa permohonan itu ditolak dan jam tangan dipulangkan kepada anak guam. Kami mempunyai hak menyatakan perkara ini dalam hujahan lisan," katanya.

Peguam bela Rosmah, Iskandar Shah Ibrahim berkata, hujahan bertulis secara terperinci difailkan oleh pihaknya sudah memadai.

"Saya tidak bercadang mengulangi hujahan itu. Kami memohon harta berkaitan dipulangkan kepada anak guam," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November ini, bagi keputusan pelucuthakan harta berkenaan.

Sementara itu, peguam syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan iaitu Datuk David Gurupatham berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpuas hati dengan representasi dihantar pihaknya sebelum ini, berhubung tuntutan seutas gelang berlian.

Katanya, gelang itu yang disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM) kini dikeluarkan dan menjadi hak milik simpanan syarikat terbabit.

"Oleh itu, kami menarik balik tuntutan itu di mahkamah," katanya.

Pada 8 Jun lalu, Rosmah menarik balik tuntutan seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,500, manakala Najib masih meneruskan tuntutan tujuh jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal BNM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 2:01 PM