Jho Low (kiri) dan Datin Seri Rosmah Mansor. - FOTO Agensi
Jho Low (kiri) dan Datin Seri Rosmah Mansor. - FOTO Agensi
Agensi

New York: Juri dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng ditunjukkan bukti kukuh barangan yang dibeli menggunakan dana didakwa diseleweng daripada skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, rantai dilengkapi berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) direka oleh Lorraine Schwartz di New York yang didakwa untuk isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak ditunjukkan kepada juri kecuali invois.

Dalam perbicaraan di mahkamah persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), pendakwa raya yang menggulung kes menunjukkan kepada juri bagaimana berbilion dolar dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion oleh ahli perniagaan kontroversi dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, digunakan untuk membeli barangan mewah.

Bloomberg melaporkan, Low turut dituduh menyalurkan dana itu kepada rakannya yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz untuk membantu menghasilkan filem 'The Wolf of Wall Street'.

Gambar DVD itu turut ditunjukkan kepada juri, termasuk tangkap layar daripada kredit filem yang mengucapkan terima kasih kepada Low atas sokongannya.

Pada 2018, syarikat produksi milik Aziz bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM253.5 juta) bagi menyelesaikan dakwaan oleh Jabatan Kehakiman AS bahawa ia membiayai filem itu dan lain-lain dengan wang yang digelapkan daripada 1MDB.

Pendakwa raya berkata, entiti yang dikawal oleh Low juga menggunakan wang 1MDB untuk membeli lima karya seni daripada rumah lelongan Christie dengan harga AS$58.3 juta (RM246.3), termasuk AS$51.8 juta (RM218.9) bagi karya Jean-Michel Basquiat bertajuk 'Dustheads'.

Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 untuk meminta rantai berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati direka untuk Rosmah.

Perjanjian bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dicapai apabila diminta berlian 18 karat dan ia dihantar sendiri oleh Schwartz kepada Rosmah ketika dia menetap di atas kapal layar dengan Low di luar pantai Monaco.

Mengikut rekod, Rosmah kemudiannya membeli tambahan barangan kemas bernilai AS$1.3 bilion (RM5.5 bilion) daripada Schwartz pada 2014.

Ng menjadi satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal berbilion dolar itu dan beliau dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner membantu Low menyeleweng berbilion dolar daripada trio urus niaga bon oleh bank berkenaan untuk 1MDB.

Low juga didakwa bersama Ng di mahkamah tanpa kehadiran (in absentia), manakala Leissner yang sebelum ini mengaku bersalah, bekerjasama dengan AS dan memberi keterangan terhadap Ng pada perbicaraan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 7:02 PM