Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan kerajaan melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residence, di sini, milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 17 Mei 2018.

Jam tangan itu turut dituntut oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menuntut barang kemas dan beg tangan berkenaan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menerusi penghakiman ringkas membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan barangan disita adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

"Saya mendengar permohonan menerusi afidavit difailkan pemohon dan pihak-pihak ketiga iaitu Najib dan Rosmah. Saya juga sudah menimbang hujahan bertulis semua pihak.

"Selain itu, pendakwaan memaklumkan seutas gelang berlian bernilai AS$220,500, dipulangkan kepada syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, kerana Rosmah sudah tidak berminat dengannya lagi.

"Sebab itu jumlah barang kemas menjadi 2,435, manakala jumlah jam dan beg tangan masih sama. Syarikat terbabit menarik balik tuntutan berkenaan di mahkamah," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, manakala Najib dan Rosmah diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti, Azamuddin Abd Aziz dan Iskandar Shah Ibrahim.

Sementara itu, Faten memohon untuk menggantung atau menangguhkan keputusan pelucuthakan harta berkenaan mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kami dengan segera akan mendapatkan arahan sama ada untuk merayu atau tidak keputusan itu, sebab itu mohon tangguh keputusan sehingga rayuan dimasukkan. Pendakwaan akan membuat permohonan secara bertulis.

"Keputusan penghakiman meluas. Kami bukan menentukan kesalahan mana-mana pihak, tetapi kesalahan harta itu. Rayuan bermerit akan menjadi sia-sia jika permohonan itu ditolak," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, penggantungan keputusan itu mengikut peruntukan undang-undang berkenaan tidak terpakai.

"Jika ada permohonan bertulis mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah, ia hanya membabitkan hukuman penjara, denda dan sebatan.

"Pendakwaan boleh terus tuntut harta itu tanpa menggantung keputusan berkenaan. Kena buat undang-undang baharu, kalau mahu gantung keputusan.

"Sebab itu, ia tidak masuk akal. Permohonan mengikut seksyen itu tidak akan membawa sebarang kesan dan hasil," katanya.

Muhammad Jamil kemudian menolak permohonan itu yang disifatkan sebagai tiada keperluan.

Pada 26 September lalu, Harris Ong berhujah fakta penyelewengan dana itu diperkukuhkan dengan urus niaga langsung antara Najib; ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan rapatnya, Eric Tan, melalui syarikat Good Star serta Blackstone Asia Real Estate Partners.

Sumber utama dalam akaun AmBank bekas Perdana Menteri itu dikatakan diperoleh daripada wang yang dipindahkan dari syarikat terbabit yang dikawal Jho Low serta Eric.

Susulan itu, Tania dipetik berkata, tujuh jam tangan mewah jenama Richard Mille itu dihadiahkan kepada bekas Perdana Menteri terbabit dan tiada bukti kukuh menunjukkan jam tangan berkenaan dibeli oleh Najib menggunakan dana 1MDB.

Iskandar Shah pula dilaporkan berkata, hujahan bertulis secara terperinci difailkan sudah memadai dan memohon harta berkaitan dipulangkan kepada anak guam.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

ROSMAH hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding sambung bicara berhubung kes 1MDB yang dihadapi Najib. FOTO BERNAMA
ROSMAH hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding sambung bicara berhubung kes 1MDB yang dihadapi Najib. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 12:37 PM